Oprah Winfrey Network Berhasrat Guna Video Tomok

Selama ini penyanyi dan pelakon Tomok sering berkongsi baik foto mahupun video menunjukkan gelagat dan keletah anak sulungnya Arrian Shah Akid, 2, di laman Instagram miliknya.

Setiap kali pelantun lagu ‘Aku Datang’ ini memuat naik gambar Arrian, ramai peminat yang memberikan komen-komen positif, tak kurang yang memuji kecomelan anak kecil itu.

Siapa sangka rupanya bukan saja peminat tempatan malah ada pihak luar negara yang turut tertarik dengan salah sebuah video iaitu video majlis Aqiqah Arrian. Video tersebut telah menarik perhatian produksi antarabangsa, Oprah Winfrey Network.

Menjelaskan perkara tersebut, Tomok berkata minggu lalu adiknya ada menerima email dari produksi berkenaan memaklumkan yang mereka ingin menggunakan sebahagian petikan video itu. Difahamkan video tersebut untuk melengkapkan sebuah program dokumentari tentang budaya-budaya unik di negara-negara seluruh dunia.

“Saya serahkan semuanya pada adik saya. Dia yang rakamkan video tu. Bila dia terima email tu, saya pesan juga pada dia supaya pastikan perkara itu betul, tak mahulah nanti ditipu pula. Setakat ini kami baru dua tiga kali berbalas email. Nampak gaya pihak di sana serius.

“Saya difahamkan pihak produksi tersebut hanya mahu memakai beberapa saat saja (footage) klip video majlis tersebut. Tapi masih terlalu awal untuk bercakap tentang bayaran. Semuanya masih dalam perbincangan. Tapi, kalau jadi perkara ini, Alhamdulillah,” tutur pelakon filem ‘Istanbul Aku Datang’ ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu Tomok turut menepis dakwaan kononnya dia terlalu memberi pendedahan terhadap anaknya.

“Tak ada istilah saya nak ‘expose’ anak saya. Program itu memaparkan tentang budaya di seluruh dunia, jadi saya dan Arrian mewakili Malaysia untuk berkongsi budaya negara kita di mata dunia menerusi majlis aqiqah anak saya. Mungkin pihak produksi itu tertarik tentang acara berzanji dan bagaimana majlis Aqiqah itu dilaksanakan.

“Jika ada pihak kata saya terlalu mendedahkan anak, di Instagram ya. Namun untuk medium lain belum ada. Sebelum ini saya banyak juga menerima tawaran surat khabar dan majalah untuk buat sesi fotografi bersama anak saya, tapi saya menolak,” ujarnya.

 

Aidilfitri Lebih Bermakna

Sementara itu, ditanya mengenai persiapan raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, Tomok berkata, seperti tahun-tahun lalu, dia dan keluarga menyambut Syawal secara sederhana.

Namun Tomok menyifatkan raya tahun ini lebih bermakna buat mereka sekeluarga tambahan isterinya disahkan hamil anak kedua.

“Persiapan ala kadar, tak membazir sangat. Rumah ibu saya di Cheras dan rumah mak mertua saya di Keramat. Jadi tiada masalah tentang nak balik raya mana dulu sebab tak jauh sangat.

“Tapi tahun ni raya kami tambah meriah sebab isteri saya disahkan hamil. Usia kandungannya baru tiga minggu dan dijangka bersalin pada ujung bulan Februari atau awal Mac tahun depan. Alhamdulillah, rezeki dalam nyanyian semakin bertambah. Lakonan saya pun semakin diterima ramai”, katanya.

Dalam perkembangan lain, Tomok bakal melancarkan albumnya berjudul ‘Tomok Aku Datang’, tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.