Kotak Hitam MH17 Akan Diserahkan Kepada Pakar Antarabangsa – Najib

Kuala Lumpur – Kerajaan Malaysia akan menyerahkan kotak hitam pesawat Malaysia Airlines MH17 kepada pasukan pakar antarabangsa untuk dianalisis, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri turut meluahkan rasa gembira dengan perkembangan di Ukraine yang positif selepas rundingan bersama kumpulan puak pemisah pro Rusia di negara itu.

Kotak hitam yang diserahkan pasukan pemberontak itu kepada pasukan Malaysia juga kini dalam keadaan baik, kata Najib.

“Mereka akan menjaga kotak hitam itu sehingga pasukan penyiasatan antarabangsa dibentuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Malam tadi saya mencapai persetujuan bersama Alexander Borodai untuk menamatkan penguasaan mereka terhadap lokasi nahas.

“Perjanjian kami berdasarkan tiga syarat iaitu; mayat mangsa dikembalikan; penyerahan kotak hitam; dan akses penuh pasukan penyiasat terhadap lokasi nahas.

“Saya mengesahkan syarat pertama dan kedua kini dipenuhi, gerabak keretapi kini tiba di Kharkiv,” kata Najib, dan menambah urusan akan dilakukan untuk membawa kesemua mayat itu ke Amsterdam.

Najib turut mengakui terdapat risiko dalam perjanjian berkenaan, namun atas dasar tanggungjawab, tindakan itu perlu dilakukan demi memastikan mayat penumpang MH17 dapat dibawa pulang dan kotak hitam diperoleh.

“Selepas bertemu keluarga, saya rasa berhutang dengan mereka untuk melakukan tindakan ini,” katanya.

Najib turut berpuas hati perjanjian bersama Borodai itu dihormati setakat ini dengan pasukan penyiasat mula semakin hampir mengetahui punca sebenar nahas udara berkenaan.

“Malaysia menuntut kerjasama ini diteruskan dan penyiasat diberikan akses penuh ke tapak nahas seperti yang dipersetujui,” katanya.

“Saya amat lega kita berjaya melepasi halangan dan membolehkan kita meneruskan usaha ini.”

Media antarabangsa melaporkan tindakan Najib berunding terus dengan puak pemisah adalah tindakan yang tidak mampu dilakukan mana-mana negara besar.

Ketika pemimpin negara lain mencemuh puak pemisah dengan mendakwa mereka bertanggungjawab atas insiden itu Khamis lepas, Najib dengan “berhati-hati menolak” dan tidak turut sama menyalahkan mereka, katanya.

Sebaliknya, kata media Australia, Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan, Najib berunding dengan ketua pemberontak Borodai mencapai satu persepakatan “yang tidak mampu dicapai negara lebih berkuasa, termasuk Rusia.”

SMH melaporkan, Najib dikritik kerana tidak menyalahkan puak pemisah, dan kemarahan meningkat terhadap cara pengurusan mayat penumpang yang 43 daripadanya adalah warga Malaysia.

Mayat penumpang dilaporkan sudah mula mereput dan pekerja krew keselamatan bekerja di bawah pemerhatian penuh kumpulan pemberontak.

Namun tanpa diketahui, Najib berunding dengan Borodai, yang dilaporkan berkata hanya akan menyerahkan kotak hitam itu dan mayat kepada Malaysia.

Beberapa menteri dari negara ini termasuk Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berada di Kiev untuk berunding, kunci yang membolehkan pasukan penyiasat memasuki kawasan nahas.

“Ada ketikanya saya ingin menyuarakan kemarahan sama seperti dirasai rakyat Malaysia.

“Saya merasai perkara itu, namun kita perlu bekerja dengan senyap untuk memberikan keputusan lebih baik.

“Hati saya dekat dengan mereka yang kehilangan anggota keluarga mereka,” katanya dan menambah, persetujuan yang dicapai hari ini akan memberi laluan penyelesaian isu ini.

Beliau berkata ketika sidang media khas awal hari ini, perjanjian itu dibuat dengan niat yang baik dan puak pemisah juga memberi kerjasama penuh.

‎Najib berikrar akan membawa pulang mayat warga Malaysia minggu ini, penghujung bulan Ramadan sebelum menjelangnya Aidilfitri.

‎Ekoran insiden pesawat MH17, sejumlah 537 nyawa hilang dalam tragedi nahas udara dialami Malaysia termasuk kehilangan pesawat MH370 yang berlaku kurang lima bulan lalu.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kotak-hitam-mh17-akan-diserahkan-kepada-pakar-antarabangsa-kata-najib#sthash.Zog9eOFK.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.