KKM, PDRM Ambil Sampel DNA Waris Penumpang MH17

PUTRAJAYA – Waris dan anggota keluarga penumpang rakyat Malaysia dalam pesawat Malaysia Airline (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine Khamis lepas memberikan sampel Asid Deoksiribonukliek (DNA) kepada pihak berkuasa hari ini.
    
Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengambil 29 sampel DNA daripada waris penumpang yang berada di Hotel Marriot di sini.
    
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Forensik/DNA) Senior Asisten Komisioner T.Narenasagaran berkata 16 kumpulan petugas terlibat dalam proses pengambilan sampel darah atau ‘buccal swap’ daripada anggota keluarga.
    
Katanya sampel DNA melibatkan waris mangsa di negeri-negeri lain yang tidak dapat hadir ke Putrajaya akan diuruskan wakil KKM dan PDRM di negeri-negeri.
    
“Kita menjangkakan proses pengambilan DNA ini selesai selewat-lewatnya Khamis ini supaya analisis sampel berkenaan dapat dihantar segera ke Amsterdam, Belanda,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai proses pengambilan DNA di sini hari ini.
    
Sementara itu adik kepada penumpang pesawat malang itu, Noor Rahimah Mohd Noor, yang hanya ingin dikenali sebagai Akma, 55, berkata setakat ini pihak KKM hanya mengambil sampel DNA beliau sahaja.
    
“Mereka hanya mengambil sampel kulit pipi serta darah saya sahaja dan mereka kata itu telah mencukupi. Tambahan lagi hanya saya anggota keluarga terdekat yang berada di sini,” katanya.
   
Akma sekeluarga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana hasil rundingan Perdana Menteri akan membolehkan mayat-mayat insiden nahas dibawa pulang.     

Sementara itu, sepupu Ariza Ghazalee, Zulrusdi Mohamad, 46, berkata pengambilan sampel DNA akan dilakukan terhadap ibu Ariza, Jamilah Noriah Abang Anuar, 72, di rumahnya di Kuching esok.
    
Beliau juga difahamkan kakitangan KKM akan mengambil sampel DNA milik adik beradik suami Ariza, Tambi Jiee yang berada di Goebilt, Kuching esok, katanya ketika dihubungi.
    
Anak saudara penumpang Puan Sri Siti Amirah Prawira Kesuma, Shahadat Edid Bey, 56, berkata beliau akan menghantar sampel rambut yang terdapat pada sikat yang digunakan ibu saudaranya ke Jabatan Forensik dalam masa terdekat.
    
Shahadat yang berada di Kuala Lumpur berkata untuk sampel darah mereka perlu mengambilnya daripada anak kandung Siti Amirah yang kini berada di Belanda.
    
Najib dalam sidang akhbar di Seri Perdana, Putrajaya lewat malam Isnin berkata beliau telah bercakap dengan Alexander Borodai, yang menguasai wilayah tempat tragedi itu berlaku, dan telah mencapai persetujuan berkaitan pengurusan mayat mangsa-mangsa MH17, hak penjagaan kotak hitam dan akses kepada para penyiasat bebas antarabangsa ke kawasan lokasi nahas.
    
Antara yang dipersetujui ialah 282 mayat, yang ketika ini berada di Torez akan dipindahkan dengan kereta api ke Kharkiv sebelum diterbangkan ke Amsterdam dengan pesawat C130 Hercules Belanda. Setelah selesai semua kerja forensik, mayat warganegara Malaysia akan dibawa pulang ke Malaysia.
    
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis lepas dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.     

Pesawat Boeing 777 itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.