Kejayaan Rundingan PM Dapat Pujian

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya berunding dan mencapai persefahaman dengan ketua puak pemisah, Alexander Borodai yang menguasai wilayah Donetsk People’s Republic baru-baru ini.

Beliau berkata, hasil persefahaman itu beberapa perkara telah dicapai merangkumi tuntutan jenazah mangsa dan kotak hitam pesawat MH17.

“282 jenazah mangsa yang berada di Torez telah dipindahkan ke Kharkiv melalui keretapi dengan diiringi enam wakil pasukan keselamatan Malaysia.

“Kemudian kedua-dua kotak hitam telah diserahkan kepada wakil Malaysia di Donetsk pada jam 9 malam semalam dan kini berada di Farnborough, United Kingdom untuk dianalisis oleh Air Accident Investigation Branch (AAIB),” katanya ketika menggulung perbahasan usul mengenai tragedi nahas pesawat MH17 pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan tindakan menembak jatuh pesawat udara awam itu merupakan satu jenayah kejam dan zalim.

Beliau berkata, kerajaan berpendirian bahawa jenayah yang dilakukan terhadap MH17 merupakan jenayah berat dan komuniti antarabangsa menuntut pembelaan tragedi itu secepat mungkin.

“Setiap usaha akan diambil untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan sama ada di peringkat domestik negara masing-masing (Ukraine dan Russia) mahupun di peringkat antarabangsa.

“Malaysia akan bekerjasama dengan pasukan penyiasat antarabangsa untuk mengenal pasti punca nahas dan mengumpul bukti-bukti jenayah berkaitan nahas,” katanya.

Selain itu, katanya lagi kerajaan akan menubuhkan sebuah pasukan penyiasat khas yang akan dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerbangan Awam dan agensi lain bagi membolehkan siasatan dilakukan segera.

“Malaysia sedar akan hakikat bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan atau tangkapan di mana-mana negara.

“Oleh itu, siasatan ke dalam perkara ini dan bidang kuasa ke atas penjenayah terbabit hanya akan dapat dilaksanakan sekiranya terdapat kerjasama dan komitmen daripada negara-negara lain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.