Kaki Judi Pura-Pura Pergi Masjid

TAMAN DESA PD – Temberang seorang lelaki berbaju Melayu kononnya mahu menunaikan solat Tarawih serta mengimarahkan 10 malam terakhir Ramadan di masjid pecah, apabila dia ditahan anggota polis ketika sedang asyik berjudi, tengah malam semalam.

Lelaki yang berusia akhir 30-an dan sudah berkahwin serta mempunyai anak itu turut mengaku menghabiskan wang sebanyak RM200 untuk berjudi ketika diserbu dalam Ops Dadu di Taman Desa PD, dekat sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Abd Wahab Harun, Ops Dadu yang bermula jam 12.15 tengah malam dan berakhir jam 3 pagi itu diketuai oleh Asisten Superintenden (ASP) Zamsari Zainal bersama enam anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.

Katanya, ketika serbuan, seramai 11 individu berusia 22 hingga 44 tahun ditahan ketika sedang asyik berjudi.

“Kesemua mereka dipercayai penduduk di sekitar Taman Desa PD ini dan mereka terdiri daripada lima Melayu, Cina (5) dan seorang India.

“Pihak polis turut menahan tiga lagi lelaki dipercayai penjaga premis serta merampas 37 set komputer.

“Penjaga premis gagal menunjukkan lesen perniagaan dan tangkapan di bawah Seksyen  4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya kepada Sinar Harian.

Abd Wahab berkata, sejak awal tahun ini, sebanyak lapan serbuan Ops Dadu dijalankan   di premis yang terbabit dengan kegiatan judi di daerah ini hasil maklumat awam serta risikan polis.

“Daripada serbuan itu,  sebanyak 457 unit komputer telah dirampas dan dua individu telah dituduh di mahkamah,” katanya.

Katanya, operasi seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa bertujuan mengurangkan premis perjudian yang semakin banyak beroperasi secara haram di daerah ini.

“Pihak polis amat berharap kerjasama pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi dalam membanteras kegiatan berkenaan dari berleluasa.

“Kita akan terus menjalankan tanggungjawab ini tetapi dalam masa yang sama, kita juga amat memerlukan kerjasama dengan pihak berkaitan serta orang ramai untuk menjadi mata dan telinga polis,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/berpura-pura-pergi-ke-masjid-1.302308

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.