Boikot Isarel : Media Malaysia Hipokrasi Atau Munafik?

ULASAN : Angka kematian di Gaza dek dibedil tentera Yahudi sudah melebihi 500 orang. Jumlah ini semakin meningkat saban hari. Namun belum sempat rakyat Malaysia benar-benar menyelami kepiluan dan kesengsaraan anak-anak Palestin simpati mereka mula berbelah bahagi.

Apa yang berlaku pada pesawat MAS MH17 secara langsung atau tidak mengalih keprihatinan mereka daripada detik-detik sedih ngeri dan amarah terhadap rejim Zionis Israel kepada musibah baru ini.

Sama ada fokus pada kezaliman di Gaza dan penembakan pesawat Malaysia di Ukraine ada hubungkaitnya atau tidak bukanlah persoalannya. Namun ia boleh menjadi indikator betapa istiqamah dan ikhlas umat Islam di Malaysia khususnya mahu membenci dan mengutuk kezaliman ini.

Penindasan dan kekejaman di Gaza seharusnya membangkitkan naluri kemanusiaan untuk memprotes dan menentang. Jika secara kententeraan mungkin tidak mampu sekurang-kurangnya umat Islam Malaysia turut “berkabung” meratapi nasib murung mereka.

 

Umat Islam terikat dengan sistem ekonomi kapitalis

Namun malangnya, umat Islam sudah terlalu kuat terikat dengan sistem ekonomi kapitalis yang kurang roh kemanusiaannya. Ini mungkin boleh menjadikan mereka masuk kategori bacul dan mementingkan diri sendiri.

Lantas dalam memperjuangkan keadilan bagi agama dan bangsanya sendiri, umat Islam masih teragak-agak untuk menyanggah sistem kezaliman yang dilakukan oleh kuasa-kuasa besar ekonomi dunia.

Bukan sekali malah sudah menjadi kelaziman bahawa kezaliman, penindasan dan kekejaman peneraju ekonomi dunia yang dipengaruhi oleh rejim Zionis hanya dituruti oleh demonstrasi marah dan kebencian terhadap Israel.

Selang beberapa ketika, kelaziman yang diatur oleh sistem ekonomi kapitalis akan membuat mereka lupa pada penderitaan umat Islam lain yang menyambung cara hidup untuk menghayati “budaya hidup kapitalis” seperti di Barat.

Memang banyak cerdik pandai dan alim ulama Islam yang mengemukakan syor untuk membebaskan dari daripada cengkaman ekonomi kapitalis ini, umat Islam harus menggunakan senjata ekonomi juga.

Cara terbaik ialah boikot produk ekonomi syarikat dan negara yang membantu Zionisme dan kezaliman. Pada permukaannya apabila dibakar semangat membenci, semuanya bersetuju. Namun bila tiba masa pelaksanaan pelbagai alasan dikemukakan.

 

McDonald’s menyumbang pada Zionis, fakta atau auta?

Paling kerap didengar, ialah kononnya boikot akan ada kesan negatifnya — ia boleh menjejaskan urusniaga dan kepentingan pekerjaan kepada umat Islam sendiri. Ambil contoh, syor boikot Mcdonalds yang dikhabarkan antara penyumbang utama kepada ekonomi persenjataan Israel.

Bukan sekali dua disebarkan bahawa McDonald’s di Malaysia menyumbangkan 10 peratus perolehannya kepada McDonald’s Amerika Syarikat — 5 peratus yuran promosi dan 5 peratus lagi bayaran royalti.

Jumlah 10 peratus itu diambil daripada pendapatan kasar dan bukan keuntungan. Dikhabarkan juga bahawa McDonald’s USA menyumbang kepada Jewish United Fund, satu dana yang menyokong usaha ketenteraan Zionis Israel.

Menurut laporan tahun 2013, saban bulan McDonald’s Malaysia menerima 12 juta orang pelanggan, bersamaan 400,000 orang sehari di lebih 250 cawangan McDonald’s di seluruh Malaysia.

Jika diandaikan setiap pelanggan membeli set paling murah, McValue Meal pada harga RM 5.90, maka 400,000 pelanggan akan menghasilkan RM 2,360,000 sehari pukal.

Maka jika sumbangan 10 peratus daripada jualan kasar RM 236,000 sehari dihantar untuk McDonald’s USA, maka dalam sebulan RM 7,080,000 akan sampai kepada McDonald’s USA, dan seterusnya kepada Jewish United Fund.

Justeru dalam setahun RM84.96 juta dihantar untuk McDonald’s USA, dan seterusnya kepada Jewish United Fund untuk melengkapkan persenjataan Israel menzalimi rakyat Palestin!

Ini baru sumbangan melalui McDonald’s. Bagaimana dengan bantuan yang dihulurkan oleh Starbucks, Coca Cola, Danone, dan Nestle melalui cara hidup rakyat Malaysia mahu menghayati gaya hidup Amerika?

Tidak cukup dengan itu, sepanjang Ramadan ini, umat Islam Malaysia terus “dididik” oleh Coca Cola bagaimana produk mereka mampu mengeratkan silaturahim di kalangan umat Islam dan menambah keberkatan berpuasa.

 

Produk mesri Israel mendominasi iklan-iklan di Malaysia

Bayangkan, produk-produk yang mesra Zionisme ini boleh dijadikan oleh stesen-stesen radio di Malaysia sebagai unsur yang boleh menyatupadukan umat! Jika demikian bagaimana nak tundukkan Israel supaya jangan menzalimi rakyat Palestin?

Namun syarikat-syarikat media sedikitpun tidak berasa berdosa mengiklankan dan bekerjasama menganjurkan program radio untuk berkempen produk-produk mesra Yahudi ini.

Paling menyedihkan syarikat media seperti ini jugalah yang bertungkus lumus pula untuk mengumpulkan dana kononnya atas dasar Kebertanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsbility) mereka untuk membantu rakyat Palestin.

Mengumpulkan dana untuk membantu rakyat Palestin adalah baik dan mulia. Bagaimanapun mengapa pada yang sama dikumpulkan laba yang besar syarikat pro-Zionis ini untuk mengukuhkan lagi persenjataan Israel melalui kuasa iklan media?

 

Bukankah itu hipokrasi atau munafik namanya?

Jika ditegur tentu alasannya bahawa itu sudah termaktub dalam kontrak di antara stesen radio dan syarikat produk berkenaan. Jika ditamatkan kontrak tanda protes, ia akan menjejaskan perhubungan perniagaan jangka panjang stesen mereka!

Tidak cukup dengan itu, ketika dunia terus meratapi penderitaan rakyat Palestin dan juga kezaliman terhadap penembakan pesawat MH17, syarikat-syarikat televisyen pula langsung tidak ambil peduli untuk turut “berkabung” dan membekukan dahulu program hiburan untuk aidilfitri.

Singkat sungguh rasa simpati dan kesedihan di kalangan peneraju stesen-stesen televisyen Malaysia, termasuk RTM! Alasannya program-program hiburan itu sudah ada penaja dan jika tidak ditayangkan stesen-stesen akan rugi.

Bagaimana boikot hendak berhasil jika media Malaysia lebih mementingkan laba sahaja? – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.