Baju Saiz Besar, Angah Raja Lawak Ciplak Jenama Polo?

Kesukaran mendapat baju bersaiz besar seringkali menghantui Angah (Raja Lawak). Menurut pelakon dan pelawak ini, masalah yang dihadapinya semakin rumit apabila dia kerap menjalani pelbagai penggambaran tetapi susah untuk mencari pakaian yang sesuai dengan saiz badannya.

Dek kerana masalah peribadi itu telah mencetuskan idea kepada Angah serta rakan kongsinya yang juga pengarah filem box-office Ismail Bob Hashim untuk mewujudkan empayar jenama fesyen pakaian mereka sendiri iaitu Republic of Big. Bersama seorang lagi rakan kongsi mereka iaitu Saharudin Jamal, usaha untuk merealisasikan empayar perniagaan pakaiaan tersebut giat dijalankan dalam masa empat bulan hingga akhirnya impian mereka menjadi kenyataan.

Istimewanya ROB, ia bukan hanya jenama untuk pakaian mereka yang berbadan besar malah saiz kecil turut dijual.

“Idea ni sebenarnya sudah kami fikirkan kira-kira 4,5 tahun dulu. Sukar buat saya mendapatkan pakaian bersaiz besar. Kalau adapun, tidak banyak pilihan. Saya selalu terbabit dalam macam-macam penggambaran tapi masalah yang sering membebankan fikiran adalah soal pakaian. Saya sering merungut pada Bob.

“Dulu kami sampaikan pergi ke Bandung dan Vietnam semata-mata nak mencari pakaian di sana kerana saiz besar 2XL ke atas sukar diperolehi di sini. Kami langsung tiada pilihan. Dari situlah timbul angan-angan kosong kami nak menerokai perniagaan pakaian dan mahu membuka butik serta kilang sendiri. Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan”, kata Angah pada majlis pelancaran ROB dan majlis berbuka puasa bertempat di Saloma Bistro, malam tadi.

Majlis yang cukup meriah itu turut dihhadiri rakan-rakan artis sebagai tanda sokongan mereka kepada Angah dan Bob. Antara artis yang kelihatan seperti Elly Mazlien, Shira dan suaminya Ijoi, Along Cham dan isterinya Zila, Fadzil Zahari, Cat Farish dan ramai lagi.

Malahan Angah dan Bob kini sudah boleh berbangga kerana ROB mempunyai butik di Johor Bahru dan kilang sendiri di Botongtanjung, Bandung, Indonesia. Pendek kata, berbaloi dengan kos pelaburan yang dipertaruhkan iaitu hampir RM1 juta untuk mewujudkan ROB.

Begitupun Bob berkata dalam usaha untuk mencapai impian mereka itu, pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui. Antaranya mereka pernah ditipu. Namun ia tidak mematahkan semangat mereka berdua. Bersama dua pereka fesyen, Ili Nabila Haris dan Zulhusmi Suahimi, sebanyak 45 rekaan eksklusif diperkenalkan untuk fasa pertama.

“Inilah dunia baru buat kami. Walaupun kami pernah ditipu sebelum ini tapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan cita–cita kami. Bagi kami, ditipu itu biasa. Apatahlagi kami masih baru lagi dalam bidang tekstil ini. Tapi sekarang, kami sekurang-kurangnya sudah pandai mengenal jenis fabrik”, katanya.

Ditanya pihak media mengenai kenapa rekaan-rekaan baju-t ROB seakan-akan jenama terkenal Polo, Bob mengakui yang rekaan ROB diinspirasikan daridada jenama tersebut.

Namun mereka berharap tiada pihak yang mempertikaikan rekaan ROB kerana mereka mempunyai sebab tersendiri mengapa ROB seperti baju-t jenama Polo dan simbolik nombor 99 pada sesetengah rekaan.

“Misi kami sebenarnya menjadi trend-setter kepada jenama baju bersaiz besar untuk mereka-mereka yang berbadan besar. Tentang rekaan pula, ia soal kedua.

“Secara tak langsung kami mahu menunaikan impian orang-orang berbadan besar yang ingin memakai pakai berjenama namun hasrat mereka terbantut kerana pakaian-pakaian berjenama seperti Polo selalunya tidak mempunyai saiz besar.

“Satu lagi sebab, orang gemuk suka pakai baju tebal. Baju-baju jenama Polo hackett terdiri daripada kain yang tebal. Jadi Polo kami ambil sebagai inspirasi untuk rekaan-rekaan ROB. Malah kualiti kain ROB juga sama sepertimana kualiti kain Polo”

“Manakala nombor 99 itu pula dianggap sebagai nombor terbesar. Jenama kami namanya Republic of Big jadi 99 itu simbolik nombor terbesar. Misalnya, 9+9 jawapannya 18. 1+8 jawapannya 9… kira ia simbolik nombor terbesar dalam urutan nombor.

“Pelanggan tak perlu ragu-ragu kerana jenama kami telah pun didaftarkan dan tidak timbul soal tiru rekaan jenama lain”, terang Bob dengan panjang lebar.

ROB boleh didapati bermula dengan saiz S hingggalah XXXXXXL dengan harga serendah RM49.90 sehingga RM159.90. Selain butik di Johor Bahru, pelanggan juga ingin mendapatkan koleksi ROB menerusi online di www.rob.com.my.

Selain itu ROB juga menyediakan carta ukuran dalam online. Pelanggan hanya perlu tahu ukuran dan rujuk pada carta yang disediakan untuk mengetahui saiz mereka.

Menurut Bob, mereka juga bersyukur kerana biarpun masih baru di pasaran tetapi ROB mendapat sambutan mengalakkan daripada para pelanggan tempatan malah pakaian ROB juga sudah diperolehi oleh pelanggan di luar negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.