KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu kelewatan projek dan kerenah pentadbiran yang berakar sejak era 1980-an tidak seharusnya terus berulang.
Ujar Menteri Kewangan itu,rakyat menuntut tindakan bukan alasan.
“Kita tidak punya ruang untuk mengulangi kegagalan yang sama. Masa tidak menunggu kita, dan rakyat pula menuntut tindakan, bukan alasan,” katanya.
“Petang ini saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bil. 1/2025 bagi meneliti tiga perkara utama: cadangan hasil Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri; penambahbaikan pelaksanaan projek oleh Jabatan Kerja Raya; serta pelaksanaan sekolah vertikal di kawasan bandar utama.
“Kerajaan Madani mesti bergerak lebih proaktif, bertindak dengan kecekapan, dan berfokus pada penyelesaian yang tuntas.
“Setiap sen peruntukan Rancangan Malaysia wajib dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat.
“Saya mahu segala isu teknikal yang melibatkan pelbagai agensi daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, ICU JPM, Kerajaan Negeri, hingga agensi pelaksana dan pemilik projek, diselesaikan segera melalui Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara,” kata Perdana Menteri.
Dalam perbincangan tadi, beliau turut tekankan keperluan mendepani realiti pembangunan bandar yang semakin padat.
“Kerana itu kerajaan komited memperkenalkan pendekatan baharu dalam penyediaan infrastruktur pendidikan melalui model sekolah vertikal di lokasi seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang.
“Dengan dukungan pemaju swasta, KPKT dan Kementerian Pendidikan akan bergandingan erat untuk menjayakan inisiatif ini agar akses kepada pendidikan berkualiti kekal terjamin buat anak-anak warga kota walau di tengah keterbatasan ruang,” kata Anwar.