SPRM Alat Politik, AMLA Hanya Alasan Serang Parti Lawan

Apabila Amerika mahu menyerang Iraq bagi menjatuhkan Saddam Hussein, negara Uncle Sam berkenaan menjual teori Iraq memiliki senjata pemusnah besar (WMD), sedangkan teori berkenaan tidak terbukti secara konklusif dan dinafikan banyak pihak.

Seperti dicatat sejarah, Amerika tetap menyerang Iraq dan kemusnahan besar yang berlaku kepada negara berkenaan adalah akibat serangan Amerika dan bukannya kerana WMD yang dijaja Amerika. Saddam akhirnya dijatuhkan hukuman bunuh dan dendam Amerika untuk memusnahkan Iraq tercapai juga.

Berbalik di negara kita, kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga bertindak sama seperti dasar Amerika terhadap Iraq, apabila sedang rakus menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Kegananasan (AMLA) bagi tujuan menyerang, menekan dan memusnahkan UMNO serta memberi nama buruk terhadap legasi yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Pengumuman Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengenai tindakan lucut hak terhadap 41 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, individu dan perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB jelas mengambarkan tindakan terpilih rejim PH bagi memusnahkan pihak lawan.

Strategi lumpuh dan musnah lawan dengan menggunakan agensi kerajaan, tanpa mempunyai bukti yang kukuh, harus ditentang sehabisan. Kerakusan kerajaan PH menggunakan Amla tidak boleh dibiarkan sahaja.

Pemuda UMNO Kedah akan bersama dengan UMNO Kedah dalam menentang menerusi saluran undang-undang tindakan AMLA berkenaan. UMNO Kedah adalah antara pihak yang dinamakan dalam tuntutan AMLA itu.

Kami juga menyuarakan dimanakah keadilan dan ketelusan SPRM apabila beberapa kes yang melibatkan pihak PH dibiarkan sahaja tanpa sebarang tindakan.

Kami ingin bertanya apakah SPRM tidak mahu membuka semula kes pembelian banglo oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta kes rasuah melibatkan projek pembinaan terowong di Pulau Pinang yang juga membabitkan Lim Guan Eng.

Begitu juga kes habuan RM800,000 yang diperolehi Setiausaha Politik Menteri Pertahanan yang sepi tanpa berita sehingga sekarang, kes monopoli kontrak di Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, yang dikatakan dikuasai anak Menteri kementerian itu, termasuk kes melibatkan Setiausaha politik Perdana Menteri, Zahid Md. Arip dalam pembelian Merdeka Palace Kuching, Sarawak serta beberapa kes lain seperti yang pernah dinyatakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Sekiranya SPRM benar berani dan telus kami mendesak agensi itu mengambil tindakan terhadap kes-kes yang disebutkan tadi. Jangan SPRM menjadi badan siasatan yang hanya bertindak atas wahyu atasan mahupun menjadi pelaksana agenda dendam pihak tertentu.

Melihat kepada kepantasan pengumuman oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu ini, timbul pertanyaan adakah perletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya sebelum ini iaitu Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ada kaitan dengan kes AMLA kumpulan 41 ini. Adakah keenganan beliau mengambil tindakan menyebabkan jangka hayat kontrak beliau tiba-tiba disingkatkan.

Pemuda UMNO Kedah kecewa dan berpandangan,tindakan ‘double standard’ Latheefa Koya dan pelantikan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM hari ini sudah benar-benar menjadikan suruhanjaya itu alat politik kerajaan Malaysia Baharu!Takziah SPRM!

Penulis merupakan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah.

*Penafian: Artikel ini dipetik dari Utusan Online. Pandangan penulis tidak semestinya mewakili pendirian SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.