Video: PRU14 Merupakan Kemenangan Untuk Golongan Liberal, Sosialis Kata Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Calon ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menipu para pengundi yang mengundi parti itu dalam pilihanraya umum yang lalu.

Tun Faizal berkata kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu hanya mampu memberikan pelbagai alasan setelah gagal menunaikan janji seperti yang terkandung dalam manifesto mereka.

“Matlamat kita sekarang ini ialah agar lebih ramai yang boleh ke depan, lebih berani (yang) membawa suara muda untuk menentang, mengkritik dan menegur kerajaan (PH) yang kita (Umno) lihat telah menipu rakyat.

“Kita nak kerajaan yang menipu ini digantikan secepat mungkin kerana kita lihat mereka tidak mampu untuk membela rakyat dan hanya manpu memberikan alasan mengapa mereka tidak mampu menunaikan janji-janji manifesto,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika wawancara khas anjuran SuaraTV sempena pemilihan Umno yang dijadualkan berlangsung 30 Jun ini.

Tun Faisal turut menyifatkan keputusan pilihanraya umum yang lalu merupakan kemenangan untuk golongan liberal dan sosialia di negara ini.

“Kita tidak perlu menghasut tapi (Umno) perlu menyedarkan rakyat bahawa ini bukan kerajaan (seperti yang diharapkan).

“Kemenangan pilihanraya yang lepas bukan kemenangan untuk orang Islam sebenarnya tapi merupakan kemenangan untuk golongan liberal dan sosialis.

“Sebab itu kita kena kembali dan mengangkat asas kekuatan Umno, dengan 55 kerusi (parlimen) yang dimenangi untuk terus bergerak kehadapan,” katanya lagi.

Pemilihan Umno kali ini bakal menyaksikan 191 bahagian bersidang dan memilih pelbagai jawatan di peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi parti serentak di seluruh negara.

Pemilihan itu melibatkan pertandingan secara terbuka untuk semua jawatan dalam parti bagi menentukan hala tuju baharu selepas kalah dalam PRU14 lalu. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.