Jaringan Coutinho, Neymar Selamatkan Maruah Brazil

SAINT PETERSBURG – Juara lima kali, Brazil menunjukkan karakter luar biasa mereka apabila bangkit meledak dua gol dalam masa enam minit di hujung permainan untuk menjinakkan Costa Rica 2-0 pada aksi kedua Kumpulan E Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA di Stadium Saint Petersburg, Rusia malam tadi.

Gol daripada bintang Barcelona, Philippe Coutinho dan penyerang Paris Saint-Germain, Neymar Jr. sudah cukup untuk membantu pasukan No. 2 dunia itu mencerahkan peluang mara ke pusingan kedua setelah mengumpul empat mata dalam dua perlawanan, sekali gus mengelak daripada pulang awal buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.

Bagaimanapun kemenangan ini tidak datang dengan mudah kerana Costa Rica, pasukan No. 23 dunia turut bermain cemerlang dengan menafikan setiap gerakan Brazil dengan baik, malah turut mencemaskan pintu gol The Selecao itu dengan beberapa percubaan berbahaya.

Selepas diikat 1-1 oleh Switzerland, Brazil yang turun dalam misi menjulang kejuaraan keenam sejak kali terakhir melakukannya 16 tahun lalu, dilihat lebih banyak menguasai permainan dengan gerakan-gerakan berbahaya serta beberapa percubaan menarik daripada Neymar dan penyerang Manchester City, Gabriel Jesus.

Namun, Costa Rica yang membuat penampilan kelima di Piala Dunia, berjaya mematahkan setiap usaha Brazil dan sekali sekala berjaya juga melancarkan serangan balas kilat ke atas pintu gol lawannya itu.

Kehebatan penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas juga banyak memainkan peranan ke atas kejayaan Costa Rica mengikat gergasi dunia ini apabila menyelamat beberapa percubaan berbahaya, selain tandukan Jesus yang terkena palang serta percubaan Neymar yang banyak tersasar di babak kedua.

Usaha Tite memasukkan pemain sayap Diego Costa berjaya menambah ‘sengat’ jentera serangan Brazil, cuma tuah tidak memihak kepada mereka ketika itu.

Brazil sebenarnya berpeluang untuk mendahului 1-0 pada minit ke-77 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Neymar dijatuhkan dalam kotak penalti, namun ia dibatalkan pengadil yang mengubah keputusan tersebut selepas melihat ulang tayang menerusi sistem Bantuan Video Pengadil (VAR).

Tatkala perlawanan dilihat seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, muncul Coutinho dan Neymar untuk meledakkan gol yang dicari-cari selama ini, sekali gus menghadiahkan kegembiraan buat seluruh peminat dan pemain dalam kem Brazil.

Kini Brazil mendahului kumpulan dengan empat mata mengatasi Serbia yang mengutip tiga mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Costa Rica sebelum ini.

Bagaimanapun, Serbia berpeluang merampas kedudukan itu sekiranya menang ke atas Switzerland awal pagi nanti, sekali gus menjamin tempat ke pusingan kedua.

Bagi Costa Rica pula mereka menjadi pasukan keempat tersingkir awal hasil kekalahan ini. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.