Tiada Kandungan Plastik Dalam Beras Jenama Rambutan

Hasil pemeriksaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ke atas beras jenama Rambutan mendapati tiada kandungan plastik atau apa-apa unsur lain dalam beras tersebut.

Kementerian itu berkata pemeriksaan telah dijalankan di tiga kilang pemprosesan dan pembungkusan beras jenama Rambutan di Ipoh, Perak; Alor Setar, Kedah; dan Kulai, Johor dan mendapati kesemua sampel yang diambil di kilang tersebut adalah beras tulen.

Menurutnya Jabatan Kimia mengambil beberapa sampel di kilang terbabit untuk dianalisis iaitu sampel sumber utama (beras belum diproses), sampel beras telah diproses dan sampel telah diproses dan dibungkus.

“Berdasarkan kepada tiga pemeriksaan tersebut, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah percaya kepada dakwaan yang tular di media sosial mengenai isu beras plastik,” kata kementerian itu dalam kenyataan, hari ini.

Kementerian itu berkata untuk sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi pejabat Kawal Selia Padi dan Beras di setiap negeri bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan sebaiknya serta dapat mengelak kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Baru-baru ini, isu beras plastik daripada jenama Rambutan tular di media sosial dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna negara ini.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.