PM Rasmi Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak

PUTRAJAYA  – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman bagi mengendalikan prosiding jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa.

Beliau berkata mahkamah pertama seumpamanya itu di Malaysia dan Asia Tenggara dapat mempercepat dan melancarkan semua prosiding serta perbicaraan kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak, lapor Bernama.

Katanya, mahkamah itu akan memberi tumpuan kepada kes seperti pornografi, antun seksual dan serangan seksual selaras dengan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Sehubunga itu, mahkamah berkenaan juga dijangka mengendalikan kes pertamanya pada 4 Julai ini, kata perdana menteri sambil menyarankan supaya dirangka Garis Panduan Khas untuk mengendali kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak di mahkamah baharu itu.

“Garis panduan khas yang bakal dirangka ini perlulah menepati kehendak dan keperluan saksi kanak-kanak serta selaras dengan amalan terbaik yang dilaksanakan di negara-negara lain di dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata satu jawatankuasa kerja yang melibatkan pihak mahkamah, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta beberapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) kanak-kanak termasuk Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) perlu diwujudkan untuk merangka garis panduan khas tersebut.

Dengan adanya mahkamah itu, perdana menteri berharap kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat diselesaikan secepat mungkin, seboleh-bolehnya kurang dari satu tahun, berbanding kini yang biasanya berlarutan sehingga beberapa tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.