Pengasas Masjid Liberal Dakwa Terima Ancaman Bunuh

BERLIN — Pengasas masjid “liberal” di sini, yang mengizinkan makmum wanita dan lelaki bercampur, menerima ugutan bunuh daripada “aliran Islam.”

“Ancaman bunuh, dan ugutan lain… sebahagiannya datang daripada puak Islam,” kata Seyran Ates, seorang pengasas Masjid Ibnu Rushd-Goethe.

Beliau, antara tujuh pengasas masjid, mendakwa menerima ugutan “ganas dan lucah” sebelum masjid itu dibuka lagi, Jumaat lepas, lapor RT Deutsch semalam.

Masjid sempena nama ulama kurun ke-12 dan penyair Jerman abad ke-18 membenarkan jemaah berbeza jantina bersolat bersebelahan selain berimamkan wanita.

Masjid itu yang terletak di tingkat tiga sebuah bangunan gereja Protestan di sini dikawal polis ketika majlis perasmiannya.

Semua penganut mazhab Islam, termasuk Syiah, sufi dan Alawi, dibenarkan bersolat di sini. Golongan gay dan lesbian juga diizinkan beribadat.

Walau terbuka kepada semua golongan, masjid ini melarang masuk wanita bertudung menutup muka dengan alasan keselamatan.

Dalam wawancara dengan akhbar Der Spiegel minggu lepas pula, Ates berkata masjid itu tidak percaya purdah atau niqab sebagai ajaran Islam.

Aktivis wanita dan peguam itu berharap masjid itu akan menjadi pusat liberalisme apabila semua orang dialu-alukan dan dilayan sama rata, lapor Mail Online.

“Tidak dibenarkan sebarang ucapan yang melanggar demokrasi di sini,” katanya.

Malah, penganut Islam boleh meluahkan rasa was-was terhadap agama mereka dan mendekatinya dengan menggunakan hujah akal, bukannya ikut membuta-tuli.

“Saya ada terima beberapa mesej di media sosial, selalunya kejian,” kata Ates seperti dilaporkan portal United Kingdom itu.

“Namun 95 peratus maklum balas indah-indah dan positif.” – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.