Memang Ada Dagangan Forex Bank Negara, Tapi Bukan Saya Kata Zeti

Bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengakui wujudnya dagangan mata wang asing dilakukan oleh Bank Negara Malaysia sekitar 90-an sehingga menyebabkan negara kerugian sehingga US$10 bilion (RM30 bilion nilai 90-an).

Menurut Channel NewsAsia, “Terdapat perdagangan mata wang melibatkan Bank Negara, bukan saya,” katanya.

Mengesahkan dirinya juga dipanggil untuk mendapatkan keterangan berhubung skandal yang berlaku sewaktu era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri, Zeti berkata beliau menjawab segala persoalan berdasarkan pengetahuannya semata-mata.

“Itu sesuatu yang terjadi 25-30 tahun yang lalu, Bank Negara telah meletakkan langkah-langkah yang perlu untuk memastikan ia tidak akan berlaku lagi. Menunjukkan standard pengurusan risiko yang tertinggi, “ kata Zeti.

Ujarnya, siasatan penuh sudahpun dijalankan ketika awal insiden itu berlaku dan laporannya juga telah dibentangkan dan dibahaskan di parlimen dan hasilnya mendapati beliau tidak bersalah.

Dalam pada itu, Zeti menambah beliau telah meninggalkan Bank Pusat kepada penggantinya, Datuk Seri Muhammad ​​Ibrahim, dengan integriti utuh, terutamanya selepas kontroversi mengenai dana pelaburan negeri 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bank pusat … telah melakukannya dengan baik. Peranan kami adalah untuk menegakkan integriti dan kekukuhan sistem kewangan yang menjadi kepentingan terbaik rakyat,” katanya.

“Bank pusat telah mengambil tindakan sejauh mana yang boleh, apa yang berlaku di luar sistem kewangan yang melibatkan penipuan, rasuah, adalah di luar kawalan Bank Pusat.

“Penalti yang dikenakan adalah tertinggi dalam sejarah Bank Negara pada entiti berkenaan, itulah tindakan yang dapat kita buat supaya memastikan integriti sistem kewangan ditegakkan, saya percaya kami telah melakukan sebanyak mungkin untuk memastikannya,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk meneliti skandal urus niaga mata wang asing forex yang melibatkan berjuta-juta dolar pada 1990-an.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Petugas-Petugas Khas yang membuat siasatan kes itu mendapati kerugian akibat urus niaga itu lebih besar.

Beberapa individu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah dipanggil untuk siasatan.

Siasatan itu dibuat selepas bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid mendakwa Bank Negara Malaysia kerugian kira-kira AS$10 bilion akibat daripada kerugian dalam urus niaga mata wang asing semasa era Mahathir.

Abdul Murad mendakwa tiada siapa yang pernah disiasat atau dikenakan secara rasmi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.