Lesen Jual Mercun Di Bazar Ramadan Tak Dikeluarkan DBKL  

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah mengeluarkan lesen ataupun permit kepada penjaja atau peniaga untuk menjual mercun di bazar-bazar Ramadan sekitar ibu kota, kata Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Beliau berkata, mana-mana penjaja atau peniaga yang didapati menjual mercun secara haram di bazar Ramadan akan didakwa dibawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai (WPKL) 1989.

Sehubungan itu, beliau berkata, 16 tindakan sita terhadap penjaja mercun tanpa lesen telah dilakukan, dengan 813 kotak mercun pelbagai jenama dirampas menerusi operasi harian bermula 27 Mei hingga 18 Jun ke atas 82 penjaja bazar Ramadan sekitar ibu negara, lapor Bernama.

DBKL, katanya, telah mengadakan kawalan dan pemantauan ke atas 6,103 tapak perniagaan merangkumi 11 kawasan Parlimen menerusi operasi harian dengan kerjasama beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Imigresen.

“Sebanyak 360 notis kesalahan am telah dikeluarkan di bazar-bazar Ramadan melibatkan kebersihan dan halangan, manakala 245 kes membabitkan pembatalan lesen dan tangkapan warga asing dibuat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.