Lana Nodin Pujuk Suami Raya Di Kuala Lumpur

KOMITMEN kerjaya suaminya sebagai pemain bola tampar menuntut aktres Lana Nodin mengikut, Mohd Daud McKienzie ke mana sahaja.

Bahkan kerana faktor itu, Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin hanya sempat berpuasa di Malaysia dua hari sahaja tahun lalu.

Bagaimanapun rutin yang dilaluinya sejak dua tahun lalu berubah tahun ini apabila Lana membuat keputusan menyambut Ramadan sekali gus berhari raya bersama keluarganya.

 

Jelas Lana, demi anak mereka, Gia Quinn McKienzie, dia terpaksa memujuk suaminya berada di Malaysia lebih lama, biarpun Daud terpaksa meninggalkan beberapa perlawanan sejak April lalu.

“Kami sepatutnya pulang ke Amerika Syarikat April lalu kerana Daud mempunyai beberapa siri perlawanan.

“Tapi sebab tahun ini Gia sudah ada beberapa sepupu yang sebaya, jadi saya mahu beri Gia pengalaman berhari raya di sini.

“Bagaimanapun dalam menyambut Ramadan, kami sempat juga terbang ke Singapura dan Brunei beberapa kali kerana terikat dengan beberapa ekspo.

“Jadi pada hari raya kedua, barulah kami akan pulang semula ke Amerika,” ujar ibu kepada Gia Quinn McKienzie, 17 bulan, ketika ditemui baru-baru ini.

Lana berkata, Daud tidak mempunyai masalah berpuasa walaupun tempoh masa yang lebih panjang, selain cuaca yang tidak menentu.

Daud menitik beratkan pemakanan dan tahu berpuasa menjadi kewajipan umat Islam.

“Malah dia juga suka dengan suasana hari raya, kenduri. Kalau raya, dia suka makan rendang ayam, tapi tak banyak sebab sekarang ini dia mula mengamalkan makan sayur.

“Katanya dia kesian melihat haiwan disembelih, jadi dia kurangkan pengambilan ayam, daging. Ikan pula dia tak berapa makan sangat,” katanya.

Sibuk berniaga

Selain sibuk mengikut suaminya dari sebuah negara ke sebuah negara, dia juga menguruskan perniagaan Lana Health and Beauty iaitu menjual produk berasaskan kesihatan, manakala My Budak Boutique menjual barangan bayi.

Lana mengambil keputusan menjual barangan bayi dari luar negara kerana ramai yang memuji pakaian Gia cantik dan tidak dijual di Malaysia.

“Alhamdulillah setakat ini, produk kesihatan dan barangan bayi ini mendapat sambutan yang cukup baik di Singapura dan Brunei. Malah saya selalu juga menyertai ekspo yang diadakan di sana,” katanya.

Tidak hanya berniaga, Lana berkata, dia turut mengambil kesempatan berlakon semasa berada di Malaysia.

“TV3 dah lama melamar saya untuk membintangi Hero Oven, tapi tahun lepas saya tak dapat buat. Jadi tahun ini sempatlah saya bersama mereka untuk empat episod.

“Selain itu, saya turut membintangi drama J.K.K.K dan show Sepahtu Reunion.

“Buat masa ini agak sukar untuk saya kembali aktif di dalam bidang lakonan kerana Gia masih menyusu badan, tapi Insya-ALLAH bila dia besar sikit, saya bersedia untuk kembali aktif,” akhirinya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.