Kucing Manja Ikut Sama Naik Motor Balik Raya

KUALA LUMPUR — Seekor kucing manja dilihat duduk diam atas belakang tuannya yang menunggang motosikal untuk pulang beraya Aidilfitri di Ipoh.

Gambar gelagat kucing bernama Twiny menular di media sosial selepas dirakam sewaktu Ahmad Mukhriz Shah Ahmad Kamal menunggang di lebuh raya dari Shah Alam.

Ia dirakam oleh seorang pengguna jalan raya kira-kira 10.30 pagi semalam sewaktu lelaki itu, 23 tahun, bertolak ke kampung halamannya, lapor Harian Metro.

“Twiny memang suka naik motor duduk di atas bahu saya, kalau letak di bakul motor dia akan lari ke belakang saya semula,” katanya.

Pemuda itu berkata haiwan tujuh bulan itu, turut mempunyai abang yang diberi nama Tony, sangat manja sehingga perlu berteman untuk membuang air.

“Kalau saya tidak suap, dia tidak mahu makan. Memang manja sehinggakan buang air pun perlu berteman,” katanya. Haiwan itu dibeli ketika umur seminggu.

“Begitu juga dengan abangnya, Tony. Kedua-duanya sangat manja dan suka naik motor dalam keadaan duduk diam di belakang saya.”

Ahmad Mukhriz berkata dia sanggup berulang alik Shah Alam-Ipoh untuk mengambil Tony pula pulang beraya di Ipoh pada hari ini atau esok.

“Saya tidak kisah berulang alik, asalkan mereka ada bersama saya kerana di Shah Alam hanya kami bertiga di dalam sebuah rumah, bagaikan satu keluarga,” katanya.

Dalam perjalanan selama enam jam 30 minit kelmarin, mereka berhenti di tiga kawasan rehat untuk memberi Twiny makan, membuang air dan berehat. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.