Kalahkan India, Skuad Hoki Malaysia Sahkan Tempat Ke Piala Dunia 2018

KUALA LUMPUR – Meskipun berada 10 ranking di bawah India, skuad hoki lelaki negara tidak berdepan masalah untuk menumpaskan gergasi Asia itu 3-2, sekali gus mara ke separuh akhir kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London.

Lebih bermakna, kejayaan itu melayakkan skuad negara mara ke Piala Dunia 2018 selepas hanya lima pasukan terbaik daripada saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia mendapat tiket automatik ke India tahun depan.

Selepas bangkit mencatat dua kemenangan dalam aksi kumpulan, Malaysia terus meningkatkan persembahan pada pertembungan suku akhir, sebentar tadi apabila tampil dengan corak menyerang sebaik permainan bermula.

Saat yang dinantikan-nantikan tiba pada minit ke-19 apabila pukulan sudut penalti Razie Rahim berjaya menewaskan penjaga gol India, Vikas Dahiya.

Razie terus membuktikan mengapa dia masih pakar flick nombor satu negara selang seminit kemudian dengan membantu mencetus gol kedua negara, yang disempurnakan Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil.

Tersentak dengan jaringan itu, India mengatur semula permainan dan hasilnya, penyerang Ramandeep Singh memperoleh dua jaringan masing-masing pada minit ke-24 dan 26.

Razie kembali meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-48 untuk gol peribadi kelimanya, di sini, sekali gus melengkapkan malam gemilang Malaysia. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.