Juruterbang Malaysia Dipenjara 13 Tahun

KUALA LUMPUR – Juruterbang warga Malaysia, Alfred Gerard Eravelly, 50, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun oleh Mahkamah Daerah Australia Barat setelah didapati bersalah merogol seorang wanita, 21 tahun lalu.

Hakim Philip Eaton menjatuhkan hukuman terhadap Eravelly hari ini selepas memutuskan tertuduh bersalah pada April lalu, lapor Utusan.

Sehubungan itu, semasa hukuman dijatuhkan, Eaton menjelaskan, bapa kepada dua anak itu tidak menunjukkan rasa menyesal dan bersalah terhadap perbuatannya.

“Kamu tidak memikirkan tentang kesalahan atau empati terhadap mangsa,” ujar beliau yang dilaporkan oleh portal berita Perthnow.

Mahkamah berkenaan memutuskan Eravelly bersalah terhadap kesemua lima pertuduhan iaitu melakukan serangan seksual ganas, merompak, mengurung dan mencederakan mangsa.

Eravelly dituduh melakukan ‘serangan yang menakutkan’ itu setelah memanjat tingkap rumah mangsa yang ketika itu berusia 38 tahun di Scarborough, Perth pada Mac 1996.

Tertuduh didakwa mengikat tangan mangsa ke belakang dan menutup matanya dan kemudian menyerang mangsa beberapa kali.

Menurut Perthnow, akibat serangan tersebut, mangsa mengalami trauma dan tertekan serta mengambil keputusan menjual rumahnya dan berpindah ke kawasan luar bandar.

Eravelly dilaporkan menghilangkan diri selepas menyerang mangsa dan kemudian bekerja sebagai juruterbang di syarikat penerbangan tambang murah di Malaysia serta menetap di Pulau Pinang bersama keluarganya.

Lelaki itu berjaya dikesan melalui pangkalan data pengenalan diri antarabangsa selepas melakukan dua jenayah seks di Florida, Amerika Syarikat pada tahun 2000.

Pihak polis kemudian mengeluarkan waran tangkap dan tertuduh berjaya ditahan ketika me­­lalui Sydney untuk ke New Zealand bersama keluarganya pada tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.