Isa Lantikan Pengerusi Bukan Eksekutif – Nancy

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri yakin Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan sentiasa mengamalkan tahap tadbir urus tertinggi melalui komitmen Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Azharuddin Mat Sah dan pasukan pengurusan SPAD.

Nancy yang merupakan menteri bertanggungjawab mengendalikan urusan SPAD berkata, pemangku pengerusi suruhanjaya itu Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam kapasiti pengerusi bukan eksekutif, memainkan peranan mempengerusikan mesyuarat anggota suruhanjaya bagi memastikan hala tuju strategik seperti mana yang terkandung dalam Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara.

“Segala aspek pentadbiran dan pengurusan suruhanjaya, termasuk operasi, perancangan, pelesenan serta penguatkuasaan adalah di bawah pentadbiran Ketua Pegawai Eksekutif dan barisan pengurusan SPAD.

“Saya percaya momentum dan semangat bekerja sebagai satu pasukan dalam budaya kerja SPAD akan terus diperhebatkan lagi bagi memastikan transformasi pengangkutan awam darat dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beberapa portal berita melaporkan pelantikan Isa sebagai pemangku pengerusi SPAD yang diumumkan pada 19 Jun lepas mendapat kritikan susulan kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) semasa Isa menyandang jawatan Pengerusi FGV.

Nancy berkata SPAD merupakan badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 yang jelas menggariskan bidang kuasanya.

Menurutnya sebagai sebuah suruhanjaya, Kerajaan telah pun memastikan terdapat sistem semak dan imbang dalam pelaksanaan semua aktiviti dan operasi SPAD.

“Malah jawatankuasa audit suruhanjaya serta bahagian undang-undang akan memastikan pihak pengurusan sentiasa mematuhi dan mengikuti tadbiran dan keperluan perundangan terkini ketika menjalankan tugas mereka,” katanya.

Tambah Nancy sejajar dengan peranan SPAD sebagai sebuah badan perancang yang profesional dan proaktif serta pengawal selia industri, SPAD mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang teratur dan terperinci.

Beliau berkata kerajaan juga telah menetapkan garis panduan serta mekanisme kawalan bagi pelaksanaan projek-projek infrastruktur untuk membangunkan pengangkutan awam darat dengan telus, amanah dan berintegriti.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.