Iran Minta Arab Saudi Bebaskan Nelayannya

TEHERAN – Iran semalam menggesa seterunya, Arab Saudi supaya membebaskan tiga nelayannya, membayar pampasan kerana menembak mati seorang pelaut dan menghukum mereka yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu, lapor agensi berita Fars.

Menurut Reuters, Media Iran pada minggu lalu melaporkan bahawa pengawal sempadan Arab Saudi menembak beberapa bot nelayan Iran di Teluk Parsi sekali gus membunuh seorang nelayannya.

Sehubungan itu, Kementerian Penerangan Arab Saudi pula berkata, pihaknya telah menahan tiga lelaki yang merupakan Pengawal Revolusi Iran dalam insiden tersebut.

“Nelayan itu tidak bersenjata. Pengawal sempadan Arab Saudi membunuh salah seorang pelaut dengan menembak bot mereka,” lapor Fars yang memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri Iran.

“Kesemua nelayan yang ditahan perlu dibebaskan, pampasan pula harus dibayar untuk mangsa yang terbunuh dan mereka yang terlibat dalam tindakan tidak bertanggungjawab ini mesti dihukum,” tambah kenyataan sama.

Dalam pada itu, Riyadh bagaimanapun berkata, bot yang ditahan pada Jumaat minggu lalu itu membawa bahan letupan dan bertujuan melakukan keganasan di perairan Arab Saudi.

Kementerian Dalam Negeri Iran menafikan dakwaan Arab Saudi dan memberitahu bahawa tiga bot nelayan itu mempunyai dokumen sah. Bot-bot itu belayar dari pelabuhan Bushehr, selatan Iran untuk menangkap ikan tetapi sesat akibat ombak kuat.

“Menembak ke arah bot nelayan sangat bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan Islam,” kata kenyataan itu.

Iran yang dikuasai mazhab Syiah manakala Arab Saudi yang berhaluan Sunnah saling menuduh antara satu sama lain sebagai bertanggungjawab menimbulkan ketegangan di Asia Barat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.