Aset dan Pendapatan PNB Terus Catat Prestasi Kukuh

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatatkan pertumbuhan prestasi kukuh bagi tempoh lima bulan tahun ini, dengan aset di bawah pengurusan (AUM) tahunan meningkat 4.1 peratus kepada RM265.6 bilion manakala pendapatan bersih tahunan berkembang 18.2 peratus kepada RM6.7 bilion.

Pencapaian kukuh PNB didorong oleh prestasi ekonomi Malaysia dan juga pasaran ekuiti yang semakin baik sepanjang tempoh itu.

Anak syarikat milik penuh PNB, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), kini mempunyai lebih 13 juta akaun dengan unit dalam edaran (UIC) mencecah hampir 217 bilion unit.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata pencapaian positif PNB setakat ini mencerminkan prestasi pasaran ekonomi dan kewangan global dan negara yang bertambah baik tahun ini.

“Dengan keadaan ekonomi Malaysia dijangka terus mencatatkan pertumbuhan, disokong pula eksport semakin mengukuh dan nilai mata wang lebih teguh, kami harap dapat mengekalkan pertumbuhan prestasi kukuh untuk tempoh selebihnya tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman prestasi separuh tahun PNB di sini, hari ini. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Tempoh lima bulan pertama tahun ini juga menyaksikan perkembangan ketara Pelan Strategik STRIVE-15 2017-2022 PNB, yang mana tunggak utama pelan berkenaan berkaitan inisiatif memberikan pulangan lebih baik secara mapan.

Perkembangan paling memberangsangkan dalam tempoh itu ialah peningkatan nilai pasaran agregat syarikat strategik PNB kepada RM31 bilion, iaitu pertumbuhan 18.1 peratus, lebih dua kali ganda pertumbuhan FBM KLCI.

Pengasingan syarikat strategik PNB seperti Sime Darby Bhd dan UMW Holdings Bhd sedang berjalan lancar, sementara cadangan pengambilalihan I&P Bhd oleh SP Setia Bhd sudah dimuktamadkan.

Ini sejajar strategi PNB untuk merasionalisasi dan meningkatkan pelaburan hartanah bagi mewujudkan syarikat hartanah terbesar di Malaysia.

Paling ketara, syarikat pelaburan strategik terbesar PNB iaitu Maybank, berjaya mencipta sejarah sebagai syarikat senaraian awam pertama di Malaysia yang mencapai permodalan pasaran RM100 bilion, didorong kenaikan harga sahamnya sebanyak 17 peratus setakat ini.

Wahid berkata, PNB amat gembira dengan pertumbuhan yang dicapai dalam permodalan pasaran syarikat pelaburan strategiknya setakat ini.

“Ia mencerminkan reaksi positif dan sokongan kuat pasaran terhadap inisiatif strategik kami untuk meningkatkan nilai syarikat terbabit melalui pendekatan “pure play”.

“Ia juga mendorong kami untuk bekerja lebih keras bagi memastikan syarikat strategik ini mempunyai platform tepat dan fokus dalam memberikan prestasi operasi dan kewangan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya. – BH

INFO
* Ekonomi domestik berkembang kukuh pada kadar tahunan 5.6 peratus bagi suku pertama 2017
* Sehingga 21 Jun 2017, indeks penanda aras FBM KLCI meningkat 8.2 peratus kepada 1,776 mata daripada penghujung 2016
* Ringgit meningkat 4.9 peratus kepada RM4.29 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS).
* Instrumen pendapatan tetap merangkumi 4.8 peratus jumlah aset PNB
* Simpanan tunai merangkumi 19.7 peratus jumlah aset PNB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.