Aktivis Mahu Iklan Rokok Diharamkan

Syarikat penyiaran di Indonesia masih bebas menayangkan iklan rokok di kaca-kaca televisyen meskipun pemerintah negara republik itu hanya mengehadkan masa tayangan di antara pukul 9.30 malam hingga 5 pagi.

Media penyiaran juga tidak boleh menampilkan produk rokok dan aktiviti merokok, lapor Utusan.

Isu penayangan iklan rokok menjadi topik utama dalam sesi perbahasan Nombor 32 Undang-Undang Penyiaran Tahun 2002.

Rang undang-undang yang diusulkan oleh beberapa Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) itu menyatakan bahawa iklan rokok adalah dilarang sama sekali untuk ditayangkan di media penyiaran.

Bagaimanapun, larangan itu mendapat reaksi negatif daripada pemain industri penyiaran termasuk Ahli DPR sendiri terutamanya mereka yang terlibat dalam proses menggubal Rang Undang-Undang Tembakau yang turut mencetuskan kontroversi hebat suatu ketika dahulu.

Ahli DPR yang terlibat itu mahu larangan penyiaran iklan rokok dipatuhi berdasarkan rang undang-undang yang diwujudkan sebelum ini.

Salah seorang daripada Ahli DPR itu turut menyifatkan larangan iklan rokok secara keseluruhan adalah turut bertentangan dengan undang-undang yang lain.

Buat masa ini, Undang-Undang Penyiaran sedang dalam proses penyelarasan di peringkat Badan Kehakiman DPR.

Sementara itu, Koalisi Nasional Reformasi Penyiaran (KNRP) yang terdiri daripada ahli akademik, bekas anggota penyiaran Indonesia (KPI) dan pemerhati industri penyiaran merupakan antara pihak yang aktif memantau perkembangan proses perbahasan tersebut.

Pengaruh buruk

KNRP merupakan antara pihak yang menyokong larangan iklan rokok di media penyiaran. Salah seorang ahli KNRP yang lantang bersuara tentang larangan iklan berkenaan ialah Pensyarah Universiti Indonesia, Nina Muthmainah.

Menurut Nina, Indonesia juga merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang masih membenarkan iklan rokok ditayangkan secara terbuka.

“Hal ini menunjukkan undang-undang di Indonesia masih belum berpihak kepada umum kerana iklan rokok mampu memberi pengaruh buruk terhadap kanak-kanak dan remaja,” katanya baru-baru ini.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia pada tahun 2013, terdapat 144 buah negara di dunia yang melarang iklan rokok ditayangkan di media penyiaran.

Nina memberitahu, daripada 144 buah negara yang melarang iklan rokok itu, ada antaranya sedang berdepan krisis politik dalaman.

“Walaupun berdepan krisis politik, negara berkenaan masih mampu melindungi rakyatnya daripada bahaya rokok apabila turut melaksanakan larangan iklan rokok di negara mereka,” ujarnya.

Tegasnya lagi, iklan-iklan rokok sebenarnya tidak memberikan fakta yang betul mengenai bahaya rokok kerana hanya memaparkan model kacak dan cantik untuk iklan berkenaan.

Padahal, syarikat televisyen mendapat wang yang sangat banyak hasil daripada iklan rokok yang telah ditayangkan.

Seharusnya, mereka perlu lebih tanggungjawab untuk memberi slot bagi menayangkan iklan mengenai bahaya merokok.

Nina turut membongkar, industri rokok di Indonesia berada di tangga kelima teratas bagi jumlah iklan yang ditayangkan di televisyen.

Jelasnya, bagi suku pertama tahun 2016 sahaja, sebanyak 13,049 iklan rokok berdurasi selama 30 saat telah ditayangkan.

“Walaupun nilai bagi menayangkan iklan rokok adalah berbeza bagi setiap stesen penyiaran, purata nilai iklan berdurasi selama 30 saat mampu mencecah 46 juta rupiah (RM14,000).

“Ini bermakna syarikat pengeluar rokok telah membayar kira-kira 611 juta rupiah (RM196,556) bagi jumlah tayangan iklan untuk suku pertama tahun 2016 kepada syarikat penyiaran,” katanya.

Walaupun iklan mengenai bahaya rokok kepada masyarakat perlu disiarkan secara percuma, pihak stesen televisyen masih mengenakan bayaran bagi menyiarkan iklan pesanan awam itu.

Situasi ini turut terjadi kepada iklan pesanan masyarakat yang dibuat oleh Anggota Nasional Pengendalian Tembakau dan Kementerian Kesihatan apabila perlu membayar untuk menyiarkan iklan tentang bahaya rokok.

Dalam pada itu, Ketua Anggota Nasional Pengendalian Tembakau, Dr. Prijo Sidipratomo berkata, hasrat untuk menerbitkan iklan mengenai bahaya merokok kepada masyarakat masih sukar dilaksanakan.

“Menerbitkan iklan pesanan awam bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Ia memerlukan perjuangan, keyakinan dan kebijaksanaan untuk bersaing dengan iklan-iklan komersial yang lain.

Mendidik

“Namun, ada juga syarikat swasta yang turut membeli slot iklan di televisyen bagi menayangkan iklan bahaya rokok sebagai tanggungjawab sosial mereka,” katanya.

Menurut Prijo, dalam keghairahan menayangkan iklan rokok, media seharusnya turut memberi ruang bagi menerbitkan iklan mengenai bahaya rokok di stesen televisyen mereka.

Sebagai contoh, syarikat PT TransJakarta merupakan pihak yang begitu konsisten dalam memberi khidmat masyarakat apabila menghiasi beberapa buah bas tentang iklan bahaya merokok.

Pengarah Utama PT TransJakarta, Budi Kaliwono berkata, pihaknya menyambut baik kempen mendidik masyarakat mengenai bahaya rokok dengan memasang iklan berkenaan pada bas milik mereka terutamanya di ibu kota Jakarta.

“Masyarakat Indonesia terutamanya warga Jakarta perlu keluar daripada garis kemiskinan dan budaya merokok sebenarnya hanya membuatkan mereka bertambah miskin,” jelasnya.

Iklan tentang bahaya merokok telah dipasang pada 21 buah bas TransJakarta dengan menerangkan merokok adalah perbuatan membakar wang sambil menunjukkan dompet yang tidak mempunyai duit.

Iklan lain yang dipamerkan antaranya menunjukkan sebatang rokok yang dipatahkan dengan mengatakan harga rokok semakin mahal dan lebih baik menabung.

Ada juga iklan rokok khusus buat kaum wanita yang mempamerkan gambar perempuan yang kelihatan tua dan tidak berseri kerana merokok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.