‘Tun Mahathir Pun Tak Letak Jawatan Waktu Dilanda Masalah’

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diselar kerana mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak takut untuk melepaskan jawatannya kerana dikatakan bakal didakwa di mahkamah selepas tidak lagi berada di kerusi perdana menteri.

 

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, Najib tidak akan melakukan perkara demikian selagi isu dan masalah yang dikatakan berlaku pada era pentadbirannya belum diselesaikan.

 

“Najib mahu selesaikan masalahnya sekarang, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mungkin juga krisis Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV).

 

“Kerana dia pemimpin dan perdana menteri, jadi dia perlu berada di tempatnya sekali gus merungkai isu itu serta cari jalan untuk menyelesaikannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Tajuddin mengulas gesaan Dr Mahathir supaya Najib meletakkan jawatan dalam ucapannya semasa pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) di Yayasan Kepimpinan Perdana baru-baru ini.

 

Dalam pada itu kata Tajuddin, Dr Mahathir juga tidak meletakkan jawatan semasa negara dilanda masalah pada zaman pentadbirannya dahulu.

 

“Pada masa itu isu Perwaja, Proton, kemelesetan ekonomi negara, masalah jambatan Pulau Pinang dan beberapa isu lain melanda negara. Tidak pula Dr Mahathir letak jawatan pada waktu itu. Dia selesaikan dahulu dan itu yang dilakukan Najib sekarang.

 

“Kalau suruh Najib letak jawatan, saya tanya pula, kenapa Dr Mahathir tidak letak jawatan dahulu semasa ada masalah melanda negara?” ujarnya.

 

Najib sebelum ini dilaporkan berkata tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan yang mahukannya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

 

Katanya, selagi rakyat menyokongnya untuk menerajui kepimpinan negara sebagai perdana menteri dan anggota UMNO terus teguh menyokongnya sebagai presiden parti maka dia tidak akan berganjak daripada jawatan yang disandangnya sekarang. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.