NGO Islam Desak Kerajaan China Tarik Larangan Berpuasa

KUALA LUMPUR – Kira-kira 20 aktivis pelbagai NGO Islam menghantar memorandum mendesak kerajaan China menarik balik larangan berpuasa yang dikenakan ke atas minoriti muslim Uighur di Xinjiang.

 

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia sebagai satu protes terhadap larangan yang jelas tidak menghormati umat Islam seluruh dunia yang sedang berpuasa ketika ini selain mereka juga perlu diberikan hak sama seperti orang lain.

 

Katanya, MAPIM juga menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa di negara itu di atas apa yang berlaku termasuk arahan tidak membenarkan puasa, memasuki masjid dan aktiviti keagamaan di sekolah di wilayah itu.

 

“Kita perlu bersuara bagi mewakili masyarakat Islam hari ini yang kecewa dengan apa yang berlaku. Dunia Islam mengutuk sekeras-kerasnya apa yang berlaku dan kita sedih kerana hak beragama dinafikan di sana.

 

“Kita juga mahu kerajaan selaku pengerusi ASEAN memainkan peranan mendesak agar larangan seumpama ini ditarik balik, sebaliknya pemerintah negara itu perlu diberi penjelasan mengenai puasa dan ajaran Islam yang lain,” katanya ketika menyerahkan memorandum di Kedutaan China di sini, sebentar tadi. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.