Lantai Pasar Raya Mydin Dalam Pembinaan Runtuh

ALOR GAJAH – Tiga pekerja warga asing maut manakala tiga lagi cedera parah apabila lantai aras dua sebuah bangunan pasar raya besar yang sedang dibina, runtuh di Pulau Sebang, di sini hari ini.

 

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.15 petang ketika sembilan pekerja warga asing rakyat Myanmar, Indonesia dan Bangladesh menjalankan kerja-kerja menarik keluar kayu perancah dari aras satu bangunan pasar raya itu yang dijangka siap penghujung tahun ini.

 

Bagaimanapun lantai aras dua tiba-tiba runtuh dipercayai akibat struktur binaan yang tidak kukuh dan menghempap kesemua mangsa.

 

Ketua Polis Melaka, Datuk Chua Ghee Lye berkata, tiga daripada pekerja terbabit sempat menyelamatkan diri ketika struktur berkenaan runtuh manakala enam lagi pekerja tidak sempat berbuat demikian dan terperangkap di celah runtuhan.

 

“Tiga pekerja yang sempat menyelamatkan diri hanya cedera ringan, manakala pasukan bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkan empat pekerja iaitu seorang daripadanya meninggal dunia dan tiga lagi parah.

 

“Dua lagi mangsa yang tertimbus dalam kejadian ini ditemukan pada pukul 9.30 malam ini dengan bantuan unit anjing pengesan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

 

Menurut Ghee Lye, dua daripada pekerja yang maut merupakan rakyat Myanmar manakala seorang lagi pekerja Indonesia namun identiti kesemua mereka belum dapat dipastikan.

 

Ujarnya, maklumat awal yang diterima pasukan bomba dan penyelamat sebelum ini adalah runtuhan itu melibatkan 15 orang pekerja namun hasil semakan mendapati hanya sembilan pekerja berada di lokasi runtuhan.

 

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat melibatkan 78 anggota dan pegawai daripada pasukan bomba dan penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta pasukan perubatan daripada Hospital Alor Gajah dan Hospital Tampin, Negeri Sembilan.

 

“Keluasan kawasan itu belum dapat dipastikan kerana pihaknya bimbang jika berlaku runtuhan lain dan kini pihak bomba sedang menjalankan siasatan penuh,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Melaka, Nazili Mahmoodmemberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 2.16 petang dan tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

 

Beliau berkata, sebanyak tujuh buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan sebaik sahaja tiba pihaknya mendapati tiga pekerja berjaya menyelamatkan diri.

 

“Kerja-kerja menyelamat berjaya mengeluarkan empat mangsa termasuk seorang yang telah meninggal dunia.

 

“Antara kesukaran yang dihadapi adalah bagi memotong kepingan konkrit besar yang runtuh. Mujurlah terdapat empat buah kren di lokasi tapak binaan yang dapat membantu pihak kami mengangkat kepingan konkrit tersebut untuk mengeluarkan mangsa yang cedera parah,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.