Kumpulan Pertama Jemaah Haji Berlepas 16 Ogos

MEKAH – Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan berlepas dengan menaiki pesawat sewa khas ke Madinah pada 16 Ogos ini.

 

Pengurus Besar Kanan (Haji) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kumpulan terakhir pula dijangka berlepas pada 16 September ini dan semua jemaah haji akan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) atau Saudi Arabian Airlines (Saudia).

 

Menurut beliau, mereka akan pulang ke tanah air bermula dengan penerbangan pertama pada 29 September dan yang terakhir pada 28 Oktober ini.

 

“Surat makluman tentang jadual penerbangan akan dihantar kepada jemaah haji secara berperingkat mulai penghujung Ramadan.

 

“Tabung Haji juga akan menghantar peringatan kepada mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon,” katanya dalam sidang akhbar bersama media Malaysia di sini hari ini.

 

Sementara itu, Syed Saleh memberitahu, sebanyak 600 petugas Tabung Haji yang terdiri daripada 250 anggota pasukan perubatan dan 350 anggota yang menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia akan bertugas di Mekah serta Madinah.

 

Beliau yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia menambah, mereka akan dibantu oleh sebanyak 200 penduduk tempatan yang berasal dari Malaysia, Indonesia dan selatan Thailand.

 

“Selain itu, sebanyak 250 petugas Tabung Haji terlibat dengan operasi di tujuh stesen berlepas di Malaysia.

 

“Mereka turut dibantu oleh 1,250 anggota pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” jelasnya.

 

Syed Saleh berharap jemaah haji Malaysia membuat persiapan mencukupi dari segi mental, fizikal dan rohani agar mereka bersedia untuk mengerjakan ibadah haji serta umrah dengan sempurna.

 

“Mereka dinasihatkan mengamalkan pemakanan seimbang dan melakukan senaman kerana pergerakan di tanah suci memerlukan mereka banyak berjalan kaki,” ujarnya.

 

Berhubung permohonan pe­nam­bahan kuota jemaah haji Malaysia, beliau berkata, setakat ini, Tabung Haji belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada kerajaan Arab Saudi. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.