Bekalan Air Terawat Di Ranau Dijangka Pulih Hari Ini

RANAU – Bekalan air terawat di daerah ini dijangka pulih sepenuhnya kira-kira 3 petang ini, kata Jurutera Air Bahagian Ranau Jabatan Air Negeri Sabah, Anthony Jullah.

 

Beliau berkata, setakat ini kerja-kerja pembersihan dan pembaikan di muka sauk utama air mentah serta proses mengangkat timbunan kayu balak sedang giat dijalankan.

 

“Kerja pembersihan dan pembaikan di muka sauk utama air mentah telah siap 95 peratus dan jika proses pembersihan itu berjalan lancar kami jangkakan kira-kira pukul 3 petang ini bekalan air terawat akan pulih sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Bernama pagi ini.

 

Beliau berkata, timbunan kayu balak itu juga sedang diangkat dan diletakkan di kawasan Lapangan Terbang Lama Ranau dengan persetujuan Pegawai Daerah Ranau, Faimin Kamin.

 

Timbunan kayu balak itu dihanyutkan banjir lumpur dari Sungai Mesilau hingga ke Sungai Liwagu menyebabkan muka sauk air mentah di Loji Rawatan Air Bambangan tidak dapat digunakan sejak minggu lalu.

 

Ia menyebabkan bekalan air terawat ke daerah Ranau terputus dan penduduk terpaksa mendapatkan air yang dibekalkan lori tangki dan air graviti. Anthony berkata, ketika ini penghantaran bekalan air ke kampung-kampung terjejas, masih diteruskan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.