Zahid beri masa 3 jam untuk BN jawab isu tular, persepsi negatif terhadap parti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu menjawab sebarang isu yang tular di media sosial terutamanya persepsi negatif mengenai parti itu dalam tempoh tiga jam, kata pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata persepsi tidak baik terhadap parti itu perlu ditepis dengan pantas bagi mengelakkan orang ramai mempercayainya sehingga memudaratkan parti.

“Kita kalah pada 2018 apatah lagi pada 2022 kerana pada hemat saya persepsi yang dilemparkan kepada kita itu terlalu berat dan kita tidak menangani persepsi itu dalam tempoh yang dekat.

“Media sosial mesti digunakan sebagai asas utama dan sebarang isu terutamanya persepsi negatif mesti dijawab dalam tempoh tiga jam, kita (sebelum ini) menjawab selepas tiga hari, kadang-kadang lepas 30 hari, ini telah terlekat di minda rakyat walaupun adakalanya tidak betul (persepsi),” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada program Better Nation BN Forum keempat bertajuk ‘Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari PRU Kanada, Singapura, Australia’ di sini malam tadi.

Zahid yang juga Presiden Umno berkata BN perlu mempunyai jentera politik moden dan dinamik, yang bijak menggunakan data serta mewujudkan komunikasi dua hala.

Selain itu, beliau berkata BN juga perlu bangkit dengan politik harapan (politics of hope) dan mampu memimpin dengan kestabilan serta dasar sesuai bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Politik intelektual mesti diwujudkan kerana rakyat semakin celik dan mahu politik yang mempunyai isi. Kunci kejayaan parti adalah pemulihan terhadap kepercayaan bukan sekadar menambah undi, selain memerlukan model politik pascapolarisasi,” katanya.

Beliau berkata BN juga perlu belajar daripada keputusan PRU di Kanada, Singapura dan Australia yang menyaksikan parti membentuk kerajaan adalah parti yang berdepan dengan pelbagai cabaran namun kekal memerintah.

“Kemenangan ini berlandaskan kepada pendekatan berbeza bukan lagi pendekatan yang konvensional dan konservatif, mereka tidak boleh lari daripada menggunakan media sosial sebagai mod komunikasi,” katanya.

Tambah beliau BN juga perlu membina naratif baharu yang menyentuh keresahan rakyat terutamanya soal kenaikan harga barang, perumahan, pekerjaan dan masa depan anak-anak.

Zahid berkata keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat bukan hanya retorik tetapi perlu diterjemahkan menerusi agenda yang mesti dilaksanakan untuk tempoh lima tahun akan datang.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat