CYBERJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), khususnya Unit Jejak Asnaf, telah diarahkan untuk menjejaki seorang wanita mualaf yang tular di media sosial baru-baru ini selepas meluahkan hasrat keluar daripada agama Islam kerana mendakwa tidak menerima bantuan dan dianiaya suami.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata tindakan segera perlu diambil bagi menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada wanita terbabit.
“Saya telah menonton video tular tersebut dan menghubungi pihak MAIWP agar mencari wanita itu untuk kita berikan bantuan,” katanya seperti dipetik BERNAMA hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya ingin bertemu wanita berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut kerana banyak perkara dalam isu ini yang masih belum jelas.
Pada masa sama, Mohd Na’im menggesa wanita terbabit atau mana-mana pihak yang mengenali individu itu untuk tampil dan menghubungi MAIWP supaya bantuan boleh disalurkan secepat mungkin.
Mengenai dakwaan wanita itu dipukul dan ditinggalkan suami dalam keadaan mengandung, beliau menegaskan bahawa jika dakwaan itu benar, mangsa berhak membubarkan perkahwinannya mengikut undang-undang syariah sedia ada.
“Bila seorang wanita masuk Islam kerana perkahwinan, tanggungjawab suami untuk membimbing dan menjaga mereka menjadi lebih besar,” katanya sambil menyeru masyarakat Islam agar lebih prihatin terhadap golongan mualaf yang memerlukan sokongan.
Tambahnya lagi, agensi-agensi agama perlu menyantuni mereka yang datang memohon bantuan dengan penuh hikmah dan empati.
Beliau mendedahkan bahawa sehingga Mei 2025, MAIWP telah mendaftarkan seramai 1,098 mualaf di Wilayah Persekutuan, berbanding 968 orang pada 2024, dengan bantuan sebanyak RM9.3 juta telah disalurkan kepada kumpulan itu setakat ini.
“Saya tidak mahu hanya kerana satu kes terlepas pandang, agensi agama dipersalah dan dipandang serong,” katanya sambil memberi jaminan bahawa semua agensi di bawah pentadbirannya akan terus membantu setiap individu yang memerlukan, khususnya golongan mualaf.