KUALA LUMPUR- Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh selaku bekas Peguam Negara menjalankan tugas selaras fungsi perlembagaan jawatannya.
AGC dalam satu kenyataan hari ini berkata dakwaan Ahmad Terrirudin mengelirukan mahkamah adalah tidak berasas dan ia sedang diteliti badan kehakiman tertinggi negara.
Kenyataan AGC itu merujuk kepada permohonan kebenaran menghina mahkamah dikemukakan Datuk Seri Najib Razak kerana mendakwa Ahmad Terrirudin ketika menjawat jawatan itu dengan sedar dan sengaja mengarahkan atau menyebabkan hujahan yang tidak benar dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi.
Hujah berkenaan bersabit permohonan semakan kehakiman Najib berhubung Titah Adendum.
AGC menjelaskan, isu dibangkitkan dalam permohonan kebenaran komital Najib kini merupakan subjek rayuan yang masih belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan, yang ditetapkan untuk pendengaran pada 1 dan 2 Julai ini berkaitan permohonan semakan kehakiman.
Ia berkata, isu yang dijadikan asas kepada permohonan komital akan dihujahkan secara menyeluruh dalam prosiding rayuan terbabit.
Menurut AGC, Mahkamah Tinggi pada 28 April lalu telah membenarkan penangguhan terhadap semua prosiding (semakan kehakiman bersabit Titah Adendum) sehingga keputusan rayuan diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan.
Ia berkata, pada 22 Mei lalu, Mahkamah Tinggi turut mengesahkan secara bertulis bahawa penangguhan berkenaan meliputi semua prosiding sedia ada dan akan datang yang berkaitan dengan kes semakan kehakiman, termasuk prosiding penghinaan mahkamah.
“Sebarang cubaan untuk memulakan atau meneruskan prosiding penghinaan ketika perintah penangguhan masih berkuat kuasa merupakan satu tindakan langsung melanggar perintah mahkamah dan menjejaskan pentadbiran keadilan yang teratur.
“Jabatan Peguam Negara tidak akan teragak-agak untuk memohon supaya permohonan tersebut diketepikan sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.
“Tindakan untuk memulakan prosiding komital sementara rayuan ini masih berjalan adalah tidak wajar, pramatang, dan prejudis,” menurut kenyataan itu, lapor BH pada Jumaat.
AGC turut menggesa semua pihak membenarkan Mahkamah Persekutuan meneliti dan memutuskan isu perundangan dan fakta yang dikemukakan tanpa tekanan, spekulasi atau tindakan luar yang boleh mengganggu perjalanan keadilan.
Menurutnya, keadilan mesti ditegakkan mengikut kerangka kedaulatan undang-undang, bukan melalui kenyataan awam atau litigasi selingan.
Pada 28 April lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan semua pendengaran membabitkan semakan kehakiman Najib berhubung Titah Adendum di mahkamah itu ditangguhkan sehingga rayuan Peguam Negara didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.
Hakim Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz memerintahkan semua prosiding, termasuk permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) membabitkan semakan kehakiman itu, ditangguhkan.
Beliau membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan bersama oleh AGC dan peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bagi penangguhan terbabit.
Pada 6 Januari lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh panel hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli yang bersidang bersama Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dan Hakim, Datuk Azizah Nawawi, yang memberi keputusan berbeza.
Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar, yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan kebenaran semakan kehakimannya.