KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mempertikai alasan Kerajaan Perpaduan menangguhkan sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya bermula 23 Jun 2025 sehingga 31 Julai ditangguhkan ke tarikh 21 Julai 2025 sehingga 28 Ogos 2025.
Kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu, semua anggota Dewan Rakyat baru sahaja diberikan notis pemaklumkan penangguhan berkenaan.
“Baru mendapat pemakluman bahawa Sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya bermula 23 Jun 2025 sehingga 31 Julai ditangguhkan ke tarikh 21 Julai 2025 sehingga 28 Ogos 2025.
“Penangguhan ini bermaksud tempoh Parlimen tidak bersidang pada kali ini ialah 137 hari selepas ditangguhkan pada 6 Mac yang lepas. Manakala sidang khas sehari baru-baru ini tidak diambil kira memandangkan ia hanya sidang khas yang mempunyai tujuan khusus (isu tarif).
“Ia merupakan tempoh ketiga terpanjang Parlimen tidak bersidang selepas dua tempoh lain yang lebih panjang, iaitu semasa penggantungan Parlimen selepas rusuhan 13 Mei 1969 (648 hari) dan semasa Proklamasi Darurat pada tahun 2021 (195 hari),” kata Fadhli.
Beliau mempersoalkan kemungkinan-kemungkinan yang menyebabkan kerajaan tidak mempunyai masa menyiapkan draf Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Jika sebelum ini ialah kerana darurat rusuhan kaum dan Covid 19, apakah sebab utama pada kali ini ditangguhkan begitu lama?
“Sibuk pemilihan partikah? Atau sibuk merancang menyusun Kabinet baru kerana dijangka ada yang akan letak jawatan? Atau sibuk ke sana sini sehingga tak sempat menyiapkan draf RMK13?
“Demikian hikayat kerajaan cacamerba,” ujar Fadhli.