KUALA LUMPUR – Tuntutan royalti minyak 20 peratus bukanlah sesuatu yang lapuk sebaliknya ia masih relevan dan wajar.
Justeru Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, semasa membincangkan isu pemulangan hasil 40 peratus, janganlah melupakan suara asal rakyat Sabah.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu membangkitkan isu royalti belum selesai.
“Tidak lama dahulu, rakyat Sabah bersatu suara menuntut agar royalti minyak dinaikkan daripada 5 peratus kepada 20 peratus. Ia menjadi simbol aspirasi untuk mendapatkan bahagian yang lebih adil daripada sumber sendiri.
“Hari ini, tumpuan telah beralih kepada tuntutan pemulangan hasil bersih 40 peratus seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, pelaksanaannya masih tidak jelas dan sering diperdebatkan dari sudut perundangan dan teknikal,” kata Salleh.
Sebaliknya ujar beliau, tuntutan royalti minyak adalah lebih mudah difahami.
Kata beliau, ia tidak memerlukan tafsiran yang rumit hanya memerlukan kesepakatan dan kemahuan politik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Usaha untuk melibatkan Sabah dalam aktiviti hiliran minyak dan gas merupakan langkah yang dialu-alukan ke arah penyertaan industri dan pemerkasaan tempatan.
“Namun, penyertaan ini tidak seharusnya dianggap sebagai pengganti kepada tuntutan royalti 20 peratus.Royalti merujuk kepada hasil langsung daripada pengeluaran sumber – ia adalah soal hak, bukan sekadar kerjasama ekonomi.
“Tuntutan royalti minyak 20 peratus bukanlah sesuatu yang lapuk ia masih relevan dan wajar. Semasa kita membincangkan isu pemulangan hasil 40 peratus, janganlah kita melupakan suara asal rakyat Sabah,” tegas beliau.
Sabah ketika ini menerima royalti 5 peratus daripada Petronas berdasarkan perjanjian 1976, tetapi negeri itu secara konsisten berpendapat jumlah itu tidak mencukupi memandangkan peranannya sebagai penyumbang utama kepada hasil minyak dan gas negara.
Tuntutan royalti 20 peratus merupakan janji utama Pakatan Harapan (PH) dalam kempen PRU14 pada 2018, namun tidak dilaksanakan semasa gabungan itu mentadbir Kerajaan Persekutuan.
Adun Usukan itu berkata perbincangan mengenai pemulangan hasil 40 peratus daripada Persekutuan wajar diteruskan, tetapi ia tidak seharusnya menenggelamkan tuntutan asal 20 peratus yang masih relevan.
Salleh berkata perjuangan menuntut royalti minyak lebih tinggi dalam mendapatkan bahagian lebih adil daripada sumber sendiri pernah menyatukan rakyat Sabah, dan ia masih ‘relevan dan wajar’ hingga hari ini.
Dalam masa sama, beliau mengakui tumpuan kini beralih kepada hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari negeri itu, seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).