KUALA LUMPUR, – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) menunjukkan pencapaian memberangsangkan setahun selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Antara kejayaan utama yang direkodkan setakat Mei ialah kutipan lebih RM52 juta melalui Wakaf MARA MADANI, pembiayaan kepada lebih 600 usahawan Bumiputera, serta pelaksanaan program TVET rintis oleh MARA.
Zahid turut mengumumkan beberapa langkah baharu termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya TVET, Pusat Data Bumiputera, dan Dashboard Ekonomi Bumiputera. Selain itu, inisiatif Malaysia Digital akan diperluas ke kawasan luar bandar, manakala pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) dijangka dibentangkan di Parlimen Disember ini.
“Saya kekal optimis agenda Bumiputera akan terus mekar sekiranya seluruh ekosistem awam, swasta, akademik dan akar umbi bergerak seiring,” katanya.