KUALA LUMPUR – “Jika ada yang menebuk lubang dalam kapal, jangan terkejut jika kita semua akhirnya tenggelam bersama, itulah peringatan tegas Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
Amaran Fuziah itu bayangan jelas terhadap ketegangan dalaman parti menjelang pemilihan yang sedang berlangsung.
Dalam ucapan perasmian Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR malam tadi, Fuziah menyeru semua ahli parti agar mengutamakan kesepaduan dan menolak sebarang agenda peribadi yang boleh merosakkan perjuangan bersama.
“Ini parti kita, kita berada dalam kapal yang akan membawa kita ke destinasi. Kalau dalam kita membawa agenda peribadi, kita tebuk kapal ini, maka semua akan tenggelam,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Ketua AMK, Adam Adli; serta Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
Fuziah berkata, pemilihan parti kali ini ibarat pertandingan dalam kalangan ‘adik-beradik’ dan seharusnya tidak mencetuskan perpecahan dalaman.
“Kita buat terbaik untuk parti kita sebab sayang parti ini. Sebab kita semua Keadilan.
“Jangan sesekali tebuk lubang yang buat kita semua karam. Jaga wadah yang kita bina dengan air mata, keringat dan kesusahan, dipukul, disembur asid, masuk penjara, masuk lokap. Bukan mudah nak bina keyakinan.
“Dulu kita parti nyamuk, orang tak yakin kita boleh survive. Tapi hari ini, kita adalah kerajaan.
“Presiden kita adalah Perdana Menteri. Jadi jaga baik-baik amanah ini. Jangan biar sesiapa pun tebuk lubang dalam kapal kita,” tegasnya lapor MalaysiaGazette di Johor Bahru.
Walaupun Fuziah tidak menyebut sebarang nama, kenyataannya dilihat sebagai respons kepada kritikan terbuka Datuk Seri Rafizi Ramli baru-baru ini terhadap proses pemilihan parti yang didakwanya tidak telus dan berat sebelah.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap beberapa aspek pengendalian pemilihan, termasuk peranan panel pemilihan serta dakwaan campur tangan pihak tertentu.
Kritikan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan akar umbi dan pimpinan parti, sekaligus menimbulkan kegusaran tentang potensi perpecahan dalaman jika isu tersebut tidak ditangani secara berhemah.