KUALA LUMPUR —Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 kali ini bakal tertumpu kepada satu dokumen penting iaitu Deklarasi Kuala Lumpur 2025 yang akan menetapkan hala tuju masa hadapan blok serantau dalam aspek tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik.
Profesor Madya Dr Khoo Ying Hooi daripada Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya berkata perbezaan tahap pembangunan dalam kalangan negara Asean menjadi cabaran utama dalam merealisasikan usaha transformasi digital.
Namun menurutnya deklarasi Kuala Lumpur 2025 ini akan menentukan hala tuju tadbir urus dan pembangunan digital yang lebih berkesan.
“Kalau kita lihat dari sudut tumpuan Asean diantaranya ialah tentang digital juga kerana masih terdapat perbezaan dari segi akses negara negara di Asean ini.
“Perdana Menteri ada memberitahu tentang tentang deklarasi. Seperti yang dikatakan untuk merapatkan lagi komuniti Asean dan salah satu platform adalah dengan digital infrastruktur kerana digital itu boleh membantu dalam bentuk perhubungan.
“Deklarasi ini penting dimana Malaysia sebagai tuan rumah untuk tahun ini bersama negara Asean yang lain harus memastikan apa saja yang kandungan yang dilancarkan nanti harus dilaksanakan dengan lebih sempurna dan tidak hanya setakat apa yang ditulis sahaja,” katanya ketika dihubungi Suara TV.
Khoo berkata, Komuniti Asean yang ditandatangani pada 2015, ketika kali terakhir Malaysia mempengerusikan blok serantau berkenaan dilihat masih tidak mencapai matlamat sepenuhnya.
Tambahnya Asean perlu lebih bersatu dalam menangani apa sahaja isu yang timbul dan mampu menyelesaikan permasalahan dengan lebih efisyen.
“Sememangnya kalau kita lihat konteks Malaysia deklarasi ini penting sebab kalau kita lihat Malaysia pada tahun 2015 kita melancarkan Asean community, tapi secara kritikal saya rasa apa yang telah dicatatkan dalam Asean community itu belum begitu tercapai sebab kesedaran Asean belum berada ditahap membanggakan
”Semasa deklarasi 2015, itu adalah tentang Asean community kita ada tiga struktur penting iaitu mengenai ekonomi, sekuriti politik dan sosial. Ketiga tiga ini saya rasa ekonomi selalu diberi tumpuan yang tinggi. Pada pendapat saya ketiga tiga ini harus saling berkait, dan jangan hanya tumpu satu struktur sahaja.
“Sebab jika kita lihat sekuriti politik dan sosial juga penting untuk menjamin kemakmuran ekonomi juga. Saya rasa semasa Asean community 2015 dilancarkan setelah satu dekad masih wujud lagi kritikan tentang Asean community yang tidak cukup bersatu,” katanya.
Sebelum ini Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Deklarasi Kuala Lumpur akan dilancarkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.