KUALA LUMPUR – Amanah telah memecat 58 ahlinya atas kesalahan menyertai pemilihan parti politik lain.
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil juga memaklumkan sebanyak 51 surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada ahli yang disyaki terlibat dan katanya Kegagalan mereka untuk menjawab surat itu juga boleh membawa kepada implikasi pemecatan.
“Amanah mengambil serius laporan dan aduan berhubung tindakan segelintir ahli Amanah yang telah mendaftar sebagai ahli parti politik lain serta terlibat dalam pemilihan parti politik berkenaan.
“Sehingga 22 Mei 2025, sebanyak 58 orang ahli Amanah telah dipecat oleh JKP Amanah Nasional atas kesalahan menyertai pemilihan parti politik lain.
“Sementara itu, sebanyak 51 surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada ahli yang disyaki terlibat. Kegagalan mereka untuk menjawab surat itu juga boleh membawa kepada implikasi pemecatan.
“Perlembagaan Amanah memperuntukan bahawa tindakan tersebut boleh membawa implikasi tindakan tatatertib termasuk pemecatan keahlian.
“Untuk memastikan pelanggaran disiplin ini dapat ditangani secara teratur, harmoni dan berkesan, sebanyak dua bentuk tindakan telah dilaksanakan iaitu pemecatan keahlian serta-merta atau siasatan lanjut yang bergantung kepada keseriusan pelanggaran,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Faiz, Amanah berharap agar tindakan yang dikenakan ini boleh menjadi peringatan yang tegas kepada ahli-ahli Amanah.
“Semua ahli Amanah diminta supaya mematuhi disiplin berorganisasi dengan berpandukan kepada Perlembagaan dan Tatacara Amanah,” tegas beliau.