KUALA LUMPUR – Cubaan dua lelaki tempatan untuk menyeludup keluar ratusan haiwan eksotik berjaya digagalkan dalam satu pemeriksaan secara bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Rabu.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan, hasil pemeriksaan pada 6.30 pagi itu berjaya menemui lebih 300 ekor haiwan
liar spesis eksotik dan dilindungi yang disorokkan dalam bagasi milik dua lelaki berkenaan.
“Antara spesies haiwan eksotik tersebut adalah blue iguana, red-eared slider, Savannah monitor, Nile monitor, common spotted cuscus, black-throated monitor dan lain-lain lagi.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua individu tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen, permit atau surat kebenaran membawa keluar hidupan liar berkenaan.
“Mereka telah ditahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686],” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Kesemua hidupan liar tersebut telah dirampas serta disita untuk tindakan lanjut manakalaa nilai keseluruhan sitaan dianggarkan lebih kurang RM460,000.
“Operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara bersepadu antara AKPS, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) akan terus dipergiatkan demi membanteras penyeludupan hidupan liar serta memastikan pemuliharaan biodiversiti negara terus terpelihara.
“Sebarang pemilikan, pemindahan, atau perdagangan hidupan liar tanpa kebenaran sah merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat,” kata AKPS.