Orang Gelakkan Mat Sabu Kerana Beliau Kelakar

Oleh: Zulkifli Rawi

KUALA LUMPUR- Seorang pengguna Twitter meminta agar masyarakat tidak membandingkan Menteri Pertahanan, Mohammad Sabu dengan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Ahmad Maslan.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Iman Anuar itu melalui laman Twitternya berkata Mohammad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu itu merupakan seorang yang kelakar sambil menyifatkan Ahmad Maslan sebagai seorang yang bodoh.

“Janganlah bandingkan Mat Sabu dengan Ahmad Maslan. Orang ketawakan Mat Sabu kerana beliau seorang yang kelakar. (Namun) orang gelakkan Ahmad Maslan kerana dia seorang yang bodoh.

“Dua perkara yang berbeza tapi menjurus kepada situasi yang sama (iaitu) ketawa,” jelasnya semalam.

Iman turut menjelaskan sebagai manusia Mat Sabu turut mempunyai kelemahan dan bukanlah merupakan perkara yang mudah untuk beliau mengikuti protokol kerajaan kerana telah lama berada sebagai ahli politik pembangkang.

“Mat Sabu ada kelemahan, bukan senang nak ikut protokol sebagai orang kerajaan, hampir 20 tahun hidup sebagai pembangkang.

“Saya percaya dia sendiri masih terkejut terima jawatan sebagai menteri pertahanan,” katanya lagi.

Sementara itu tinjauan yang dilakukan mendapati rata-rata pengikut Iman turut bersetuju dengan pandangan tersebut.

Mereka turut berkata walaupun berbeza dari segi karakter namun Mat Sabu dan Ahmad Maslan mempunyai satu persamaan iaitu gemar memasak.

Terdahulu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu memulakan hari pertama selaku Menteri Pertahanan dengan mengambil tabik hormat dan menerima Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Juniusabdiah Shah Putra Janny.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi serta Panglima Perkhidmatan dan Pegawai Kanan Tentera dan awam Kementerian Pertahanan. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.