Israel Jadi Negara Pertama Lancar Serangan Guna Pesawat F-35

BAITULMAQDIS – Israel menjadi negara pertama menggunakan jet pejuang kalis radar F-35 buatan Amerika Syarikat (AS) dalam peperangan, kata ketua tentera udara negara itu, Amikam Norkin semalam.

“Kami menerbangkan F-35 di seluruh rantau Asia Barat dan melancarkan serangan di dua lokasi berbeza,” katanya yang dipetik media ketika berucap di hadapan ketua tentera udara dari 20 negara yang mengadakan persidangan di Israel.

Norkin juga menayangkan gambar sebuah F-35 milik Israel yang terbang melintasi Beirut.

Dibina syarikat Lockheed Martin Corp, pesawat F-35 juga dikenali sebagai Pejuang Serangan Bersama dan di Israel ia dikenali dengan nama dalam bahasa Hebrew ‘Adir’ bermaksud berkuasa.

Israel adalah negara pertama di luar AS yang memiliki F-35.

Pada Disember 2016, Israel menerima dua pesawat pertamanya daripada 50 yang ditempah. Menurut media Israel, sembilan pesawat sudah diterima setakat ini.

Israel sebelum ini memberitahu ia melancarkan beberapa serangan udara di Syria terhadap kemudahan atau penghantaran senjata dari Iran kepada kumpulan Hezbollah di Lubnan.

Tentera udara Israel juga dipercayai melancarkan serangan terhadap kumpulan militan di wilayah Sinai di Mesir dan penyeludup senjata Hamas di Sudan. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.