Pelajar Kolej Swasta Maut Elak Binatang Lintas

KUANTAN – Seorang pelajar sebuah kolej swasta maut manakala seorang lagi cedera parah setelah kereta mereka naiki terbabas selepas dipercayai cuba mengelak daripada melanggar seekor binatang yang melintas dalam kejadian di Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Kampung Penor di sini, semalam.

Mangsa yang merupakan penumpang hadapan kenderaan itu Muhamad Norfitri Norizan, 20, berasal dari Kampung Sungai Melayu, Johor Bharu, meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik Pahang, Supt. Mohd Noor Yusof Ali berkata dalam kejadian 3 pagi itu, pemandu kereta itu Mohamad Fitri Ilham Rahiman, 20, dari Pasir Gudang, Johor Bharu masih tidak sedarkan diri dan kini sedang menerima rawatan di ICU, hospital berkenaan.

“Dua lagi rakan mereka, Ahmad Fariz Ar Azmi, 20, dari Skudai, Johor Bharu dan Haris Iskandar Hasim, 20, hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka di Pekan sebelum kereta Proton Satria dinaiki mereka terbabas melanggar tiang lampu, dipercayai selepas Mohamad Fitri cuba mengelak seekor binatang yang melintas jalan.

Kesemua mangsa kemudian dikeluarkan oleh orang ramai sebelum dikejarkan ke HTAA untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan mendapati keadaan jalan gelap kerana tidak berlampu namun cuaca baik serta jalan kering,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.