Pelajar 12 Tahun Cedera Jatuh Tingkat Tiga Bangunan Sekolah

KLANG – Seorang pelajar tahun enam cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi, mangsa ditemui terbaring di kaki lima bangunan oleh guru yang bertugas sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi mendapatkan rawatan.

Berita Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, mangsa cedera di kepala dan retak tulang leher tetapi stabil dan sudah sedar.

Sebelum kejadian, murid berkenaan berada di dalam kelas di tingkat tiga ketika diminta oleh pengawas untuk turun ke dewan bagi sesi perhimpunan.

“Hasil siasatan awal mendapati ada satu kerusi di koridor bertentangan kelas mangsa.

“Hari ini, difahamkan juga mangsa memaklumkan kepada bapanya dia tidak mahu ke sekolah kerana tiada persefahaman dengan rakan sekelas,” katanya yang dipetik.

Alzafny berkata, pihaknya difahamkan, mangsa tidak hadir ke sekolah selama tiga hari sejak Rabu lalu kerana mengalami sakit telinga.

Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah, namun polis masih mencari motif sebenar kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.