Zizie Izzatte Rindu Nak Berlakon Namun Akur Bung Mokhtar Bukan Miliknya Seorang

Sejak mendirikan rumah tangga dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah dari Barisan Nasional, Datuk Bung Mokhtar Radin kira-kira empat tahun lalu, pelakon putih gebu, Datin Zizie Izzatte lebih senang menjauhi dunia lakonan.

Agak lama juga kakak kepada pelakon Shaheizy Sam ini tidak muncul menerusi lakonan baik drama mahupun filem. Tumpuannya lebih kepada menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah dan isteri.

Begitupun, sesekali kelibat Zizie menjadi tumpuan masyarakat apabila dia turut sama turun padang mengikuti suaminya berkempen misalnya sewaktu pilihan raya umum lalu.

Bercakap kepada akhbar Utusan, Zizie berkata, dia akur suaminya itu bukan miliknya sahaja sebaliknya milik masyarakat. Malah Zizie tidak pernah meragui pendirian itu.

“Dalam hubungan saya dengan suami, kepercayaan itu tunjang utama. Tetapi kami tidak pernah bincangkan terlalu mendalam soal-soal remeh kerana masing-masing juga tahu tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Sebagai isteri, saya akui suami saya merupakan pembimbing terbaik buat saya. Namun sebagai pemimpin saya bertuah untuk mengetahui dia disenangi ramai,” katanya.

Bagaimanapun berkahwin dengan seorang ahli politik, Zizie tidak boleh menepis mahupun menghentikan daripada turut menjadi sasaran musuh politik. Bagi Zizie selagi suaminya bergelar seorang ahli politik sampai bila-bila juga dia terdedah dengan perkara ini.

Akui sakit untuk menelan, tetapi itu tidak bermakna dia menyimpan dendam. Sekadar tersenyum, Zizie berharap agar kesedaran itu timbul di pihak tersebut.

“Benda ini memang saya rasai sejak bergelar artis, malah selepas saya bernikah benda yang tidak ada juga diada-adakan. Bila bergelar isteri kepada seorang ahli politik pula perkara sama berlaku cuma pendekatannya berbeza.

“Saya tidak ambil kisah, jujur saya katakan perkara ini tidak memberi sebarang kesan kepada saya. Sebab saya tahu mereka tidak akan berhenti,” katanya.

Mengenai keraya seni pula, tipu untuk dia katakan tiada sekelumit rasa untuk kembali ke set penggambaran, namun semua itu kini perlu masa yang sesuai. Tambahan suaminya tidak pernah menghalangnya untuk kembali aktif berlakon. Namun dia hanya mahu menunggu masa yang sesuai.

“Memang saya rindu untuk berlakon, saya tidak pernah beritahu akan keluar daripada dunia lakonan pun. Tetapi tunggulah, akan tiba waktu itu. Cuma kali ini saya akan pastikan watak itu berbaloi untuk saya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.