Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan Tidak Adil

PUTRAJAYA 22 Mei – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, salah satu peruntukan dalam Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang menghalang golongan lelaki berpakaian seperti wanita, adalah melanggar Perlembagaan kerana didakwa merupakan diskriminasi terhadap pihak lelaki.

Peguam Aston Paiva berhujah, Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 hanya mendakwa dan menghukum lelaki yang berpakaian seperti wanita namun ia tidak terpakai kepada wanita yang berpakaian seperti lelaki.

Peguam bela menghujahkan, seksyen berkenaan tidak berlaku adil dan bersifat diskriminasi kepada kaum Adam kerana bercanggah dengan Perlembagaan iaitu di bawah Perkara 8 (diskriminasi jantina).

Mahkamah sedang mendengar rayuan tiga mak andam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan mereka bagi mencabar undang-undang syariah negeri itu yang menghalang mereka berpakaian seperti perempuan.

Perayu-perayu ialah Muhamad Juzaili Mohd. Khamis, 27; Shukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30. Mereka yang dilahirkan sebagai lelaki dan beragama Islam, kemudian membuat pembedahan pertukaran jantina.

Pada 11 Oktober 2012, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menolak permohonan semakan itu atas alasan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh pemohon adalah berlandaskan undang-undang.

Beliau memutuskan, badan perundangan negeri mempunyai kuasa melaksanakan undang-undang itu kepada orang Islam dan perkara yang tergolong sebagai kesalahan dalam ajaran Islam.

Hakim bicara turut berpendapat, seksyen berkenaan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya digubal atas bidang kuasa Kerajaan Negeri dan kesalahan yang dilakukan pemohon iaitu orang yang beragama Islam tidak boleh dikecualikan.

Aston turut berhujah, seksyen berkenaan tidak wajar dikuatkuasakan terhadap anak guam mereka kerana ia tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai kepada mereka yang secara psikologi adalah wanita atau mempunyai kecelaruan identiti jantina.

Hujah peguam bela, hakim bi-cara gagal menilai laporan perubatan bahawa perayu-perayu mempunyai kecenderungan sedemikian iaitu mereka berkeinginan berpakaian seperti perempuan dan mahu diiktiraf sebagai wanita.

Ujarnya, peri laku perayu-perayu bukan atas pilihan mereka tetapi kecelaruan yang timbul adalah sesuatu yang semula jadi dan dialami selama bertahun-tahun untuk tempoh yang panjang.

Peguam bela menyatakan, ekoran itu, mereka seringkali ditangkap dan ditahan serta pernah didakwa di bawah seksyen berke-naan sehingga mewujudkan stigma bahawa mereka adalah pelaku jenayah setiap kali keluar rumah ke-rana berpakaian seperti wanita.

Sementara itu, peguam, Shahredzan Johan yang mewakili Majlis Peguam dan bertindak sebagai ‘rakan mahkamah’ (amicus curae) berhujah, hakim bicara gagal menilai bahawa undang-undang syariah negeri mesti selari dengan Perlembagaan Persekutuan bagi membo-lehkan ia dikuatkuasakan.

Sehubungan itu, hujah beliau, seksyen berkenaan wajar diisytiharkan terbatal dan tidak mempunyai kesan kerana hakim bicara mengambil pendekatan yang salah ketika membuat keputusannya.

Perayu-perayu menamakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ke-tua pegawai penguat kuasa syariah, ketua pendakwa raya syariah dan Kerajaan Negeri sebagai responden.

Seksyen 66 didakwa turut menafikan hak mereka daripada segi kebebasan melahirkan perasaan masing-masing dan enakmen itu menyebabkannya sukar bergerak dan ini merupakan satu pelanggaran hak mengikut Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan mengenai mobiliti.

Mereka juga mendakwa seksyen itu melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak kebebasan terutama daripada segi kebebasan memilih.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus yang bersidang bersama Datuk Aziah Ali dan Datuk Lim Yee Lan menetapkan penghujahan bersambung pada 17 Julai ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.