Tentera Thai Rampas Kuasa

Bangkok – Semua rakyat Malaysia di Bangkok dilapor berada dalam keadaan selamat selepas tentera negara itu merampas kuasa daripada kerajaan sementara pimpinan Perdana Menteri, Niwatthamrong Boonsongphaisan.

Pengesahan itu diberikan Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain kepada The Rakyat Post.

Menurut Nazirah, berikutan rampasan kuasa yang berlaku, perintah berkurung dikuatkuasa daripada jam 10 malam hingga 5 pagi.

” Saya menasihat rakyat Malaysia di Thailand supaya mematuhi perintah berkurung yang dikuatkuasa. Bagi pelancong mereka diminta tidak keluar daripada hotel penginapan” katanya.

Menurut Nazirah sehingga petang tadi keadaan di sekitar Bangkok terkawal walaupun tentera mula melancarkan operasi menahan pemimpin politik dan kumpulan penunjuk perasaan yang bertelagah.

Pada tengahari Khamis, Ketua Panglima Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha membuat pengumuman rasmi berhubung rampasan kuasa di televisyen tempatan negara itu.

Sehari sebelumnya, Prayuth dilapor mengadakan pertemuan di Kelab Tentera Ketua tentera Thailand, dengan pemimpin parti politik, kumpulan politik yang bertelagah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan senator bagi mencari jalan penyelesaian kepada konflik politik yang melanda Negara Gajah Putih.

Terdahulu, tentera menafikan pelaksanaan undang-undang tentera beberapa hari lalu sebagai satu rampasan kuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.