Separuh Kakitangan Agensi Kerajaan, Hutang Along

Kuantan – Hampir separuh kakitangan dari sebuah agensi kerajaan dilaporkan berhutang dengan along, menyebabkan ramai di kalangan mereka dihimpit kesusahan lebih-lebih lagi kad pengeluaran wang automatik (ATM) turut dipegang ceti haram.

Perkara mengejutkan itu didedahkan Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi yang pergi ke Kuantan pada Khamis, bagi membantu sebilangan kecil mereka yang terbabit.

Beliau mendakwa, hasil maklumat awal yang diperoleh pihaknya mendapati, hampir separuh daripada 3,000 kakitangan agensi kerajaan terbabit dibelenggu masalah hutang.

“Kita telah datang ke Kuantan, setelah menerima maklumat daripada kakitangan,agensi kerajaan terbabit yang meminta pertolongan untuk mengatasi masalah itu, dan dalam masa yang sama, pihak majikan turut menghubungi kita berhubung soal itu,” katanya.

Tanpa mendedahkan butiran jabatan kerajaan berkenaan, Samsudin berkata, along terbabit juga bertindak berani dengan datang ke jabatan berkenaan bagi mengutip hutang.

Menurutnya, perkara itu juga telah dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil terhadap peminjam wang haram itu.

Beliau juga mendakwa, kegiatan peminjaman wang oleh along di Kuantan semakin serius, dengan kebanyakan peminjam wang terbabit berselindung atas nama syarikat peminjam wang berlesen.

“Siasatan kami mendapati, along ini mempunyai lesen untuk menjalankan kegiatan meminjamkan wang ini di Johor Bahru dan Kuala Lumpur, namun mereka turut menjalankan kegiatan sama di sini dan ia melanggar syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mendakwa sepasang suami isteri di Banting, Selangor mahu menjual bayi mereka yang baru dilahirkan gara-gara terdesak hendak membayar hutang along.

“Maklumat berhubung kes tersebut baru kita perolehi hari ini, dan difahamkan pasangan itu kini sedang mencari pembeli untuk menjual bayi mereka. Kita akan ke rumah mereka dalam tempoh terdekat untuk membantu menyelamatkan bayi berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu juga, beliau menggesa pihak berkuasa memandang serius perkara ini, terutama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau meminta kementerian itu supaya mengambil tindakan drastik, dengan menyerahkan kuasa di bawah Seksyen 29 B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kepada polis, kerana kementerian itu tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk menguatkuasakan akta itu di seluruh negara.

Di bawah seksyen itu, mana-mana pemberi pinjam wang berlesen secara sendiri atau melantik orang ketiga mengekori mangsa, mengugut atau menganggu, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan berulang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.