Seorang Maut, Lima Cedera Dirempuh Bas

Gua Musang – Seorang maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres, van dan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 72 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata, pekerja syarikat penyelenggaraan jalan, Mohd Zakarman Bedol, 41 tahun, mati di tempat kejadian, akibat cedera parah di kepala.

Mangsa sedang mengawal lalu lintas, ketika kemalangan berlaku pada jam 12.15 tengah hari.

Lima lagi yang cedera adalah dua pekerja syarikat penyelengaraan itu dan tiga pekerja Institut Kerja Raya Malaysia.

Saiful Bahri berkata, pemandu bas ekspres terbabit yang berusia 54 tahun bersama 10 penumpang tidak mengalami kecederaan.

Mereka kemudiannya meneruskan perjalanan dengan menaiki bas lain.

Jelasnya, kejadian itu berlaku ketika lima buah bas ekspres sedang melalui jalan berkenaan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, manakala mangsa korban bersama lima mangsa cedera sedang menjalankan kerja mengorek jalan untuk ujian tahap kualiti jalan yang baru diturap tar.

Katanya, bas ekspres yang berada di barisan kedua dipercayai terbabas lalu merempuh Mohd Zakarman yang sedang mangawal lalu lintas, sebelum merempuh sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik syarikat penyelenggaraan itu yang diletakkan di bahu jalan.

Lima lagi mangsa yang sedang menjalankan kerja mengorek jalan bersebelahan dengan van berkenaan, terpelanting dan terjatuh di atas jalan, apabila van yang dirempuh bas ekspres itu terkena mereka.

“Kita sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan pemandu bas ekspres terbabit juga ditahan sementara untuk diambil keterangan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat, sebelum dituntut keluarga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.