RM7.5 Juta Naik Taraf Kawasan Industri Di Selangor

KLANG 22 Mei – Kerajaan Per­sekutuan melalui Lembaga Pemba­ngunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta pada tahun ini bagi menaik taraf prasarana kawasan perindustrian di Selangor.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Da­tuk Seri Noh Omar berkata, dana itu telah disalurkan kepada empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Klang yang menerima RM2.9 juta, Shah Alam (RM1.2 juta), Kuala Langat (RM1.7 juta) dan Hulu Selangor (RM1.6 juta).

Beliau berkata, dana tersebut akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan perindustrian terbabit seperti jalan raya, lampu jalan dan perparitan bagi memberi kemudahan kepada pelabur di negeri ini serta menarik lebih banyak lagi golongan tersebut.

“Setiap tahun Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan khas untuk memastikan infrastruktur di kawaasn industri di negeri ini sentiasa terjaga bagi memberi kemudahan kepada pelabur.

“Bagi tempoh tiga tahun lalu, kerajaan memperuntukkan se­ba­nyak RM42.3 juta dan ini je­las menunjukkan Kerajaan Perse­kutuan komited untuk terus membangunkan Selangor, sekali gus menolak dakwaan negeri ini dianaktirikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan perindustrian di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Noh dalam pada itu berkata, kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan rakyat (PKR) juga perlu memberi sumbangan untuk me­mastikan prasarana di kawasan perindustrian sentiasa berada da­lam keadaan baik.

Menurutnya, ini penting untuk memastikan pelabur sedia ada akan kekal selain dapat menarik lebih banyak lagi pelabur dari dalam dan luar negara.

“Apa yang berlaku ketika ini, banyak jalan di kawasan perindustrian berlubang serta tidak memiliki lampu jalan atau rosak dan ini adalah satu persekitaran yang tidak baik dan boleh menjatuhkan imej negara.

“Selangor juga jatuh ke ke­dudukan nombor dua bagi negeri yang mencatat nilai pelaburan paling banyak untuk tahun lalu iaitu sebanyak RM9.8 bilion berbanding RM11 bilion pada 2012,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Noh berkata, kerajaan negeri sepatutnya memberi tumpuan kepada pentadbiran dan tidak hanya mementingkan politik kerana ia adalah sumber pendapatan negeri serta negara yang juga akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Jika perkara ini berterusan, tidak mustahil kedudukan Selangor sebagai negeri paling maju di Malaysia juga akan tergugat,” tegas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.