Polis Sangkal Dakwaan Dyana

Teluk Intan – Polis menafikan dakwaan pembangkang, kononnya jenayah di Teluk Intan merupakan isu serius dan merunsingkan pengundi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang menegaskan, kadar jenayah dan keselamatan di kawasan berkenaan dalam keadaan terkawal.

Berdasarkan statistik, sejak Januari lalu hingga 21 Mei, hanya sejumlah 150 kes dilaporkan, yang secara purata satu kes jenayah berlaku di Teluk Intan dalam sehari.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk setempat supaya tidak mempercayai dakwaan itu dan menyebarkan maklumat tidak sahih, tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak polis.

“Dakwaan sedemikian adalah persepsi orang tempatan semata-mata,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, sebagai mengulas dakwaan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Goh juga berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes ugutan bunuh terhadap seorang ahli parti politik, ketika sedang melakukan kerja-kerja kempen di sebuah bilik gerakan.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Dyana Sofya dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong.

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48 tahun, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.